Isnin, 30 November 2020 | 9:44am
PENCAPAIAN Kolej Komuniti Beaufort memenangi pingat emas dalam kategori Fruit Carving-Team Carving di Istanbul Gastronomy Festival, Turki pada 25 Disember 2019.
PENCAPAIAN Kolej Komuniti Beaufort memenangi pingat emas dalam kategori Fruit Carving-Team Carving di Istanbul Gastronomy Festival, Turki pada 25 Disember 2019.

Kebolehpasaran graduan TVET capai 95 peratus

KUALA LUMPUR: Kebolehpasaran graduan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari Kolej Komuniti dan Politeknik negara ini, mencapai tahap 95 peratus setiap tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Mohamad Amin Hamat, dalam kenyataannya, berkata keadaan itu membuktikan graduan terbabit mendapat tempat dan menjadi pilihan majikan dan industri, selain berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti universiti.

"Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam melahirkan lebih ramai job creator (penyedia peluang pekerjaan).

"Dari 2018 sehingga 2020, Politeknik dan Kolej Komuniti berjaya menghasilkan hampir 7,000 usahawan dalam kalangan graduan.

"Ada di antara mereka mampu menjana pendapatan sehingga mencecah lima angka dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pencapaian pelajar berkaitan di peringkat nasional dan antarabangsa turut membanggakan apabila meraih pingat, kemenangan serta pengiktirafan melalui pelbagai pertandingan kemahiran, inovasi dan sukan.

PENERAPAN ilmu dan latihan kemahiran dalam pengkhususan program pendidikan TVET meningkatkan prospek pekerjaan graduan.
PENERAPAN ilmu dan latihan kemahiran dalam pengkhususan program pendidikan TVET meningkatkan prospek pekerjaan graduan.

Katanya, antara platform yang berjaya mengharumkan nama institusi pendidikan terbabit adalah Pertandingan FIRA RoboWorld Cup, WordSkills Competition, dan Abilympics (Olimpik bagi pelajar kurang upaya).

"Ia termasuk juga Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, Pertandingan MySkills, Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), Universiade, Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA.

"Terdapat juga graduan Politeknik dan Kolej Komuniti berjaya membina kerjaya di luar negara dan ini kita terapkan melalui program pengantarabangsaan.

"Ia mendedahkan pelajar kepada peluang kerjaya global menerusi program pertukaran pelajar antarabangsa dan program latihan industri luar negara," katanya.

Ditanya kaedah TVET mengatasi isu kebolehpasaran graduan, katanya, pentadbiran setiap Politeknik dan Kolej Komuniti menerapkan pelajar masing-masing dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat mencari peluang pekerjaan atau bekerja sendiri.

Katanya, TVET juga bekerjasama dengan pihak industri menerusi program khusus seperti Work Based Learning dan Structured Intership Programme bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terbabit.

"Selain itu, TVET memperluas jaringan kolaborasi institusi dengan industri termasuk syarikat multinasional melalui kerjasama berimpak tinggi seperti program CEO@Faculty Programme (CFP), Industry on Campus (IOC) dan Talent Enhancement Programme.

PELAJAR TVET didedahkan kepada bidang keusahawanan seawal semester satu melalui inkubator keusahawanan.
PELAJAR TVET didedahkan kepada bidang keusahawanan seawal semester satu melalui inkubator keusahawanan.

"Seterusnya, melaksanakan program reskilling (latihan semula), upskilling (peningkatan kemahiran) dan crosskilling (kemahiran silang) seperti ditawarkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), KPT-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) bagi membantu pelajar mendapat pekerjaan selepas mengikuti latihan itu.

"Selain itu, menekankan aplikasi kemahiran bagi membolehkan pelajar mempraktikkan ilmu kemahiran menerusi amali bengkel serta makmal dan membangunkan inovasi projek tahun akhir yang berbentuk solution provider (penyelesaian masalah)," katanya.

Dalam pada itu, Ts. Mohamad Amin memaklumkan, TVET menyediakan program pengajian yang responsif dengan keperluan industri menerusi semakan dan penjajaran program pengajian dari semasa ke semasa supaya pelajar sudah bersedia memasuki fasa pekerjaan.

"TVET memberi nilai tambah kepada pelajar menerusi program Finishing School yang melengkapkan sijil dan diploma mereka dengan pengiktirafan dan pentaulihan profesional daripada badan serta agensi diperakui.

"Selain itu, mendedahkan pelajar kepada bidang keusahawanan seawal semester satu melalui inkubator keusahawanan di institusi dengan sokongan kementerian dan agensi luar.

"Akhir sekali, menggalakkan pelajar menceburi ekonomi gig dan menjadi pekerja bebas (freelancer) yang berjaya bagi menghadapi norma baharu pasaran kerja pasca COVID-19," katanya.

Beliau berkata, proses mendapatkan kerjasama yang lebih lestari daripada pihak industri bagi membangunkan TVET antara cabaran dihadapi dalam memperkasakan bidang terbabit di negara ini.

Berita Harian X