Ahad, 29 November 2020 | 10:12pm
SARJAN Norihan dipindahkan ke wad biasa HPP.
SARJAN Norihan dipindahkan ke wad biasa HPP.

Sarjan Norihan dipindahkan ke wad biasa HPP

GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari, 39, yang cedera akibat ditembak penyeludup pada Selasa lalu, dipindahkan ke wad biasa Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini, selepas keadaan kesihatannya semakin baik.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata Norihan dipindahkan ke wad biasa dari Unit Rawatan Rapi (ICU), namun masih berada di bawah pemantauan dan pemerhatian doktor pakar.

"Setakat ini, beliau masih belum boleh menerima pelawat kerana perlu banyak berehat dan doktor pakar masih membuat penilaian sama ada perlu melakukan pembedahan susulan untuk mengeluarkan satu lagi peluru.

"Saya difahamkan kedudukan peluru itu terlalu dekat dengan tulang belakangnya serta kemungkinan memberi kesan (bahaya) jika cuba dibuang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Norihan, yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP, Rabu lalu, selamat menjalani pembedahan mengeluarkan dua daripada tiga butir peluru dalam badannya.

Dalam insiden pada jam 3.10 pagi Selasa itu, Norihan dan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berdepan kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand.

Badaruddin terbunuh manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terlibat dalam Op Benteng. –BERNAMA

Berita Harian X