Sabtu, 28 November 2020 | 4:59pm
Dr Noor Hisham mengadakan lawatan kerja ke kawasan PKPD Jalan Teratai, Klang, pagi tadi. - Foto ihsan FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham mengadakan lawatan kerja ke kawasan PKPD Jalan Teratai, Klang, pagi tadi. - Foto ihsan FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

COVID-19: PKRC dibuka di Arena Badminton Kinta hari ini

KUALA LUMPUR: Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Arena Badminton daerah Kinta, Ipoh, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui hantaran dalam Facebook beliau, berkata PKRC dilengkapi masing-masing 80 katil untuk lelaki dan wanita itu bertujuan merawat pesakit kes Kategori Satu serta Dua.

"Ini semestinya akan membantu mengurangkan beban hospital utama.

"Walaupun kita melakukan yang terbaik bagi menangani situasi COVID-19, kita tahu bahawa kita harus berusaha sebaik mungkin untuk terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit bukan COVID-19 juga," katanya.

Wad Isolasi Hospital Semporna. - Foto ihsan FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Wad Isolasi Hospital Semporna. - Foto ihsan FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), beliau turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama rapat mereka dengan kementerian dan agensi lain bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Setakat tengah hari tadi, Perak merekodkan 1,498 kes positif COVID-19 dengan 13 kematian.

Sementara itu melalui hantaran berasingan, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa beliau berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Jalan Teratai, Klang, Selangor, pagi tadi, bersama pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan lain.

Kawasan PKPD di Jalan Teratai terbahagi kepada Sektor A serta Sektor B, dengan setiap sektor itu menempatkan asrama lelaki dan wanita.

Pada lawatan kerja itu, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pengurusan PKPD oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Klang, Dr Masitah Mohamed.

Taklimat itu antara lain menjelaskan bahawa pengurusan kesihatan dikendalikan anggota kesihatan daripada PKD Klang dan Klinik Kesihatan Meru, selain dibantu anggota kesihatan dari daerah luar serta sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Aktiviti pengurusan kesihatan terbabit meliputi ujian calitan saringan COVID-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital serta pengurusan data.

Menerusi catatan dalam laman sosial itu, Dr Noor Hisham turut berkongsi perkembangan terkini tindakan menangani penularan COVID-19 di Sabah.

Beliau memaklumkan, Wad Isolasi Hospital Semporna telah siap sepenuhnya dan mula digunakan pada 22 November lalu.

Katanya, wad Isolasi itu mempunyai sembilan katil dan tekanan negatif, selain dilengkapi 'HEPA Filter', dua katil unit rawatan rapi (ICU) serta dua alat ventilator, termasuk sebuah ventilator mudah alih.

"Dengan adanya kemudahan ini, pesakit penyakit berjangkit seperti COVID-19 yang memerlukan 'ICU care' atau HDW boleh dirawat dan diisolasi dengan lebih berkesan.

"Kemudahan ini juga akan mempertingkatkan kesiapsiagaan hospital menghadapi pandemik ini, terutama di pantai timur Sabah," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X