Khamis, 26 November 2020 | 8:38pm
Abd Rahim Jaafar. FOTO NSTP
Abd Rahim Jaafar. FOTO NSTP

Dua daripada tiga peluru berjaya dikeluarkan dari tubuh Norihan

GEORGETOWN: Sarjan Norihan Tari, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera ketika insiden berbalas tembakan di sempadan Selasa lalu, selamat menjalani pembedahan mengeluarkan dua daripada tiga peluru dalam badannya di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, ketika menyampaikan perkembangan positif itu berkata, 'perwira negara' itu belum sedar selepas pembedahan, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Norihan dibedah pada jam 1.30 tengah hari, hari ini dan (pembedahan) berakhir pada jam 5.45 petang oleh sepasukan pakar di hospital. Berdasarkan maklumat awal daripada doktornya, beliau belum sedarkan diri tetapi stabil.

"Dua peluru daripada perut, dekat dengan tulang belakang berjaya dikeluarkan, manakala satu lagi peluru masih dalam paru-parunya. Kita akan tunggu nasihat doktor mengenai perkara ini (peluru ketiga)," katanya.

Abd Rahim berkata, sepasukan pakar ketika ini sedang memantau secara rapi keadaan Norihan yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Norihan, 39, dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah, Kangar ke HPP malam tadi bagi menjalani pembedahan mengeluarkan peluru dalam badan serta menerima rawatan lanjut.

Negara kelmarin digemparkan dengan insiden berbalas tembakan antara sekumpulan penyeludup dan anggota PGA, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Norihan parah berikutan tiga das tembakan pada kanan perut serta rusuk belakang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata insiden berkenaan ialah kali ketiga bulan ini, dengan kejadian pertama pada 12 November dan kedua, 15 November lalu.

Insiden kali keempat, pada jam 6.15 petang semalam pula membabitkan seorang anggota PGA yang cedera ringan selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam kejadian itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam, sebelum secara tiba-tiba terkena tembakan.

Berita Harian X