Rabu, 25 November 2020 | 3:02pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua dari kanan) mengucapkan takziah kepada bapa mendiang Koperal Baharuddin Ramli, Ramli Derus (tiga dari kiri) dan balu mendiang, Relow Ko (empat dari kiri) ketika menghadiri upacara persemadian mendiang di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, hari ini. - Foto BERNAMA

Koperal Baharudin, Norihan dinaikkan pangkat

JEMPOL: Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terbabit dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan Tari dinaikkan ke pangkat Sarjan berkuat kuasa serta-merta.

Mengumumkannya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kenaikan pangkat itu berikutan keberanian luar biasa ditunjukkan kedua-dua anggota PGA itu.

Dalam kejadian itu, mendiang Baharuddin, 54, terkorban akibat terkena dua das tembakan di dada dan perut, manakala Norihan, 39, cedera parah terkena tembakan di perut apabila berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan di Padang Besar, Perlis.

Abdul Hamid berkata, kenaikan pangkat itu juga akan memberi kelebihan kepada ahli keluarga mendiang Baharuddin.

Anggota polis mengusung keranda mendiang Koperal Baharuddin Ramli dengan penuh istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, hari ini. - Foto BERNAMA

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mendiang dan Norihan diberi penghargaan tertinggi seperti pingat Pingat Gagah Berani (PGB).

"Cadangan pemberian pingat itu juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin," katanya pada sidang media selepas upacara pengebumian mendiang di tanah perkuburan Orang Asli Sungai Sampo, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, PDRM juga sudah menyampaikan beberapa bentuk sumbangan antaranya insurans berkelompok, koperasi PDRM, tabung amanah perwira, tabung kebajikan Bukit Aman dan sumbangan daripada PGA.

Anggota polis mengusung keranda mendiang Koperal Baharuddin Ramli dengan penuh istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota polis mengusung keranda mendiang Koperal Baharuddin Ramli dengan penuh istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X