Rabu, 25 November 2020 | 9:12am
Seramai 151 mangsa daripada 45 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal selepas kediaman mereka di Taman Murni Permai, di Kuala Nerus dinaiki air susulan hujan berterusan sejak petang semalam. - Foto Ghazali Kori

Kemaman daerah terbaharu terjejas banjir

KUALA TERENGGANU: Kemaman menjadi daerah terbaharu terjejas banjir di Terengganu susulan hujan berterusan sejak kelmarin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata, ia selepas sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik bagi menempatkan 27 mangsa daripada lima keluarga di daerah itu.

"Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin bertambah apabila seramai 690 mangsa daripada 184 keluarga ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara sehingga jam 8 pagi tadi.

"Ia menunjukkan pertambahan berbanding semalam yang hanya merekodkan seramai 352 mangsa daripada 87 keluarga di 15 pusat pemindahan sementara di seluruh Terengganu," katanya.

Che Adam berkata, mangsa di daerah Kuala Nerus terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 206 orang daripada 52 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan berbanding hanya 134 mangsa (29 keluarga) di dua pusat pemindahan, semalam.

Beliau berkata, seramai 101 mangsa daripada 27 keluarga di Kuala Terengganu dipindahkan ke SK Chendering dan SK Atas Tol.

"Di Dungun, tujuh pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan 131 mangsa daripada 34 keluarga berbanding hanya 64 mangsa daripada 15 keluarga di empat pusat pemindahan, semalam.

"Selain itu, seramai 125 mangsa daripada 40 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Setiu," katanya.

Gambar fail, Wan Tabar Wan Nawang, 63 berada di halaman rumahnya yang dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam di Kampung Bukit Nyoir, Pelong, Setiu. - Foto Ghazali Kori
Gambar fail, Wan Tabar Wan Nawang, 63 berada di halaman rumahnya yang dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam di Kampung Bukit Nyoir, Pelong, Setiu. - Foto Ghazali Kori

Che Adam berkata, mangsa banjir di daerah Marang juga meningkat kepada 90 orang berbanding 23 orang semalam.

Katanya, ia membabitkan sebanyak 21 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, SK Tasek dan SMK Seri Payong.

"Di Besut, tiada pertambahan mangsa direkodkan apabila jumlah mangsa banjir kekal seramai 10 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di Kampung Bharu," katanya.

Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus mengalihkan sangkar haiwan peliharaan selepas rumah mereka ditenggelami banjir di Kampung Petaling, Tepoh, Kuala Nerus. - Foto Ghazali Kori
Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus mengalihkan sangkar haiwan peliharaan selepas rumah mereka ditenggelami banjir di Kampung Petaling, Tepoh, Kuala Nerus. - Foto Ghazali Kori

Berita Harian X