Selasa, 24 November 2020 | 12:38pm
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerima kunjungan hormat perpisahan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang bakal bersara wajib pada 5 Disember ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerima kunjungan hormat perpisahan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang bakal bersara wajib pada 5 Disember ini.

PM hargai sumbangan Abu Kassim

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang bakal bersara wajib pada 5 Disember ini.

Muhyiddin yang memuat naik dua keping gambar kunjungan hormat perpisahan itu melalui Facebook, berkata beliau sangat menghargai segala usaha dan sumbangan Abu Kassim memerangi rasuah dan memastikan integriti tadbir urus negara berada pada tahap yang tertinggi.

"Semalam saya menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang akan bersara wajib pada 5 Disember 2020.

"Sebelum dilantik untuk mengetuai GIACC, beliau adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dari Oktober 2010 hingga Julai 2016.

"Tan Sri Abu Kassim yang saya kenali ini adalah seorang yang sangat proaktif, punya banyak buah fikiran untuk menambah baik tadbir urus negara, tegas dan pastinya seorang yang berintegriti dan komited terhadap tugasan beliau," katanya dalam hantaran yang dimuat naik pagi tadi.

Muhyiddin berkata, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dilancarkan pada Januari 2019, yang bertujuan menangani isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh, antara inisiatif yang dibangunkan oleh GIACC bawah kepimpinan Abu Kassim.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan. Saya doakan semoga Tan Sri sentiasa dirahmati Allah SWT dan dikurniakan kebahagiaan.

"Persaraan Tan Sri bukan mudah untuk dicari pengganti," katanya.

Berita Harian X