Isnin, 23 November 2020 | 11:41pm
MET Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk pada tahap jingga dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa daerah negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga esok. - NSTP/Ghazali Kori
MET Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk pada tahap jingga dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa daerah negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga esok. - NSTP/Ghazali Kori

Cuaca buruk diramal di Pantai Timur hingga lusa

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk pada tahap jingga dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa daerah negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga esok.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon, berkata amaran cuaca waspada (kuning) yang dikeluarkan untuk tiga negeri itu pada jam 11.30 pagi tadi dinaikkan ke amaran cuaca buruk (jingga).

"Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di daerah Kota Bharu, Bachok, Machang; Pasir Putih dan Kualai Krai di Kelantan.

"Amaran cuaca buruk (jingga) juga membabitkan keseluruhan negeri Terengganu serta daerah Maran; Kuantan dan Pekan di Pahang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, terdapat pertambahan kawasan untuk amaran cuaca waspada (kuning) yang mana hujan lebat dijangka akan berterusan sehingga lusa membabitkan daerah Jerantut dan Temerloh, Pahang.

Grafik oleh MetMalaysia
Grafik oleh MetMalaysia

Amaran cuaca buruk yang dikemas kini pada jam 9.40 malam tadi menunjukkan empat daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah berada dalam kategori amaran cuaca waspada (kuning) iaitu hujan kebat dijangka berterusan sehingga lusa.

Turut diletakkan dalam kategori amaran itu juga adalah daerah Jerantut, Temerloh, Bera dan Rompin.

"Angin kencang timur laut berkelajuan 40 - 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh tersebut.

"Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit," katanya lagi.

Berita Harian X