Isnin, 23 November 2020 | 4:05pm
Gambar hiasan

Ops Selat: Pegawai Imigresen disyaki ahli sindiket curi kenderaan

KUALA LUMPUR: Salah seorang pegawai imigresen yang ditahan dalam Ops Selat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disyaki adalah ahli sindiket mencuri kenderaan.

Malah, penjawat awam Gred KP 19 itu dipercayai ada rekod kes samun dan mencuri kenderaan.

Sumber berkata, siasatan mendapati kakitangan itu berkemungkinan adalah ahli sindiket mencuri kenderaan dan samun berkumpulan diketuai oleh salah seorang ejen yang juga berjaya ditahan.

"Hasil siasatan turut mendapati ada dakwaan bahawa individu itu terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.

"Namun, timbul persoalan bagaimana kakitangan itu yang memiliki rekod jenayah lampau, boleh dilantik ke jawatan perkhidmatan awam.

"Ini berikutan hasil siasatan mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sebelum memegang jawatan pegawai imigresen Gred KP 19.

"Ada kemungkinan tinggi hubung kait jenayah yang dilakukan itu berterusan dengan membabitkan kes penyeludupan migran," katanya.

Menurut sumber itu lagi, 12 ejen pekerja asing yang ditangkap dalam Ops Selat disyaki adalah anggota sindiket penyeludupan migran antarabangsa.

"Salah seorang ejen yang ditahan itu adalah individu yang berada dalam senarai orang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Suspek disyaki terbabit tiga kes berkaitan jenayah samun, curi kenderaan dan konspirasi dalam jenayah bersindiket, termasuk pelacuran dalam kalangan warga China," katanya.

Katanya, suspek juga adalah ejen didakwa menyimpan empat kereta mewah, termasuk Rolls Royce Phantom, Mustang, Audi dan Range Rover disyaki milik bersama pegawai imigresen Gred KP 19 itu.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali, mengesahkan 56 orang telah ditahan SPRM, meliputi 34 pegawai imigresen, 12 ejen dan 10 orang awam dalam Ops Selat.

"Orang awam ditahan itu disyaki adalah keldai akaun di mana akaun bank mereka digunakan untuk menyimpan wang rasuah yang dikutip.

"SPRM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap ejen pekerja asing ini," katanya.

Beliau berkata, SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan PDRM bagi memastikan tindakan siasatan dijalankan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada.

Berita Harian X