Isnin, 23 November 2020 | 2:27pm
Syor kes bukan kecemasan dirujuk ke hospital swasta bagi meringankan beban doktor di hospital dan klinik kerajaan. - Foto hiasan
Syor kes bukan kecemasan dirujuk ke hospital swasta bagi meringankan beban doktor di hospital dan klinik kerajaan. - Foto hiasan

Syor kes bukan COVID-19 rujuk klinik swasta

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan kes bukan kecemasan dan rawatan susulan bagi penyakit bukan COVID-19, dirujuk kepada klinik atau hospital swasta bagi meringankan beban doktor di hospital dan klinik kerajaan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata langkah itu akan membolehkan doktor di hospital dan klinik kerajaan menumpukan sepenuh perhatian kepada kes COVID-19.

Jika syor berkenaan diterima, katanya, ia akan turut meningkatkan pendapatan klinik swasta, sekali gus membolehkan perkhidmatan terbabit bertahan daripada terus terjejas kesan penularan COVID-19.

Beliau memberi contoh, kes bukan kecemasan seperti demam dan rawatan susulan seperti kencing manis, darah tinggi boleh dirujuk ke hospital atau klinik swasta dengan pesakit hanya perlu membayar RM1 seperti dikenakan klinik dan hospital kerajaan.

"Cadangannya adalah Kementerian Kesihatan (klinik, hospital kerajaan) merujuk pesakit bukan kecemasan untuk mendapatkan konsultasi di klinik swasta, manakala ubat-ubatan masih lagi dibekalkan oleh klinik atau hospital kerajaan.

"Bayaran konsultasi ditanggung kerajaan. Untuk ubat-ubatan, jika perlu diambil di klinik atau hospital kerajaan, ia akan menyusahkan pesakit yang terpaksa ke sana untuk ambil ubat.

"Jadi, lebih baik baik ambil terus di klinik atau hospital swasta yang memberi rawatan. Sama sahaja kalau ubat berkenaan diambil di klinik atau hospital kerajaan kerana kerajaan tetap perlu tanggung kosnya," katanya kepada BH, semalam.

Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam
Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam

Beliau memberi contoh, pesakit ke klinik kerajaan kerana demam, kemudian dirujuk ke klinik atau hospital swasta dan tidak akan dikenakan bayaran kerana klinik atau hospital swasta berkenaan akan membuat tuntutan kepada kerajaan.

"Bayaran konsultasi dan ubat akan dituntut oleh klinik atau hospital swasta itu daripada kerajaan. Dengan bayaran itu, ia sedikit sebanyak boleh membantu klinik atau hospital swasta mengekalkan operasi dan mempunyai pendapatan.

"Langkah ini juga secara tidak langsung mengurangkan beban fasiliti kesihatan awam," katanya menambah, caj konsultasi oleh klinik swasta di Malaysia tidak membebankan, iaitu hanya sekitar RM50 bagi seorang pesakit.

Dr Subramaniam berkata, ramai menganggap mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta adalah mahal, sedangkan ia adalah kos sebenar.

"Di klinik kerajaan, pesakit bayar hanya RM1, tetapi kos selebihnya ditanggung kerajaan. Contohnya, jika keseluruhan kos rawatan dan ubat-ubatan RM100, kerajaan tanggung RM99.

"Jika pesakit ini dirujuk ke klinik atau hospital swasta, kosnya sama sahaja dan klinik swasta boleh membuat tuntutan daripada kerajaan melalui cadangan MMA ini," katanya lagi.

Katanya, langkah itu sudah dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia dengan semua konsultasi rawatan perubatan di negara terbabit dikendalikan doktor swasta, bukan klinik atau hospital kerajaan.

"Di sana, doktor swasta akan menjalankan pemeriksaan kesihatan, mencadangkan ubat serta memberi nasihat. Bagaimanapun, rakyat mereka dilindungi polisi insurans kebangsaan.

"Di negara kita tiada skim sedemikian walaupun MMA sudah cadangkan dulu. Kerajaan wajar mempertimbangkan skim insurans nasional ini dan semua rakyat perlu menyumbang, sama ada guna caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau lain-lain sumber," katanya.

Beliau berkata, kaedah demikian pernah diamalkan di Malaysia sebelum ini, membabitkan rawatan asas segera seperti pembedahan dan prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Katanya, MMA sangat berharap cadangan berkenaan dipertimbangkan kerajaan, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak, iaitu perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Kelmarin, MMA memaklumkan, perkhidmatan kesihatan swasta di negara ini akan mengalami krisis jika tidak dibantu kerajaan kerana COVID-19 menjejaskan pendapatan dan boleh menyebabkan klinik serta hospital swasta menutup operasi.

Dr Subramaniam berkata, sektor kesihatan swasta mengalami kemerosotan pendapatan dengan pengurangan jumlah pesakit ketara sejak Mac lalu.

Antara punca adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan penangguhan pemeriksaan kesihatan, selain pesakit mengelak mengunjungi klinik atau hospital kerana bimbang dijangkiti COVID-19.

Kajian MMA mendapati, klinik dan hospital swasta di seluruh negara mengalami penurunan jumlah pesakit antara 70 hingga 80 peratus sejak tempoh berkenaan.

Cadangan kerjasama beri kesan positif

Syor kerjasama di antara perkhidmatan kesihatan kerajaan dan swasta bukan sahaja boleh memberi kesan positif kepada kedua-dua sektor berkenaan, tetapi akan turut memanfaatkan pesakit.

Bagi Dr Jeffri Teh Faizal yang sudah 13 tahun berkhidmat, syor dikemukakan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) itu mampu mengurangkan masa menunggu pesakit, perkara biasa dilihat di klinik atau hospital kerajaan, khususnya ketika penularan COVID-19.

Selain itu, katanya, pesakit juga akan mempunyai masa yang lebih fleksibel untuk bertemu doktor berikutan klinik swasta beroperasi melebihi waktu pejabat, malah ada yang dibuka 24 jam.

"Di klinik swasta, pesakit juga mempunyai lebih masa untuk bersama doktor. Jika di klinik kerajaan, seorang doktor perlu bertemu 60 hingga 70 pesakit dalam tempoh empat hingga lima jam kerana ada terlalu ramai pesakit.

"Jika kerjasama seperti disyorkan MMA dilaksanakan, fasiliti awam boleh mengurangkan kesesakan pesakit yang tinggi dan pada masa sama, kepakaran pengamal perubatan am (GP) juga boleh dimanfaatkan secara maksimum pada waktu ini," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau yang berkhidmat di Melaka, menyarankan kerajaan tampil dengan modul tertentu, sama ada mengehadkan kuota bayaran pesakit dalam tempoh bulanan atau GP mendapatkan bekalan ubat daripada kerajaan, sekali gus boleh meminimumkan bayaran perlu ditanggung kerajaan.

Sementara itu, Dr Raja Kohila Sivaganesamoorthy, berkata syor MMA itu jika dilaksanakan, boleh dilihat sebagai kaedah kerajaan membantu semula GP yang selama ini terikat dengan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, khususnya dalam aspek caj konsultasi.

Buat masa ini, katanya, kebanyakan GP atau doktor swasta berdepan waktu sukar untuk meneruskan operasi kerana penurunan pesakit akibat pandemik COVID-19.

"Sudah tiba masanya kerajaan tampil membantu (doktor swasta). Kebanyakan pernah berkhidmat di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan, jadi tidak timbul isu kualiti rawatan yang diberikan kepada pesakit.

"Jika kita lihat, inisiatif ini banyak dilaksanakan di negara maju dan ia wajar juga dilaksanakan di negara ini. Apatah lagi caj konsultasi doktor swasta di negara kita adalah antara yang terendah, sekali gus membolehkan kerjasama ini dilaksanakan.

"Ini juga cara kerajaan membantu GP sekarang kerana kebanyakan daripada kami berdepan penurunan jumlah pesakit sejak beberapa bulan lalu," katanya menambah, beliau sendiri hanya menerima purata dua hingga tiga pesakit sehari.

Berita Harian X