Ahad, 22 November 2020 | 12:15am
Antara kediaman dilanda banjir kilat di Ayer Molek, malam tadi. - NSTP/Amir Mamat
Antara kediaman dilanda banjir kilat di Ayer Molek, malam tadi. - NSTP/Amir Mamat

3 kampung DUN Ayer Molek dilanda banjir kilat

MELAKA: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Melaka Tengah, malam tadi, dengan menempatkan 55 mangsa banjir.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dibuka kira-kira jam 7 malam selepas tiga kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dilanda banjir kilat.

Kampung terbabit ialah Kampung Pengkalan Minyak, Kampung Busut Licin dan Kampung Ayer Molek.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata hujan lebat berterusan sejak jam 11 pagi hingga 8 malam tadi menyebabkan air Sungai Duyong melimpah.

"Setakat ini, semua mangsa memberi kerjasama baik. Kami akan melakukan pemantauan berterusan untuk memastikan tiada mangsa terkandas di rumah akibat banjir," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, setakat jam 10 malam tadi, jumlah mangsa banjir di daerah Alor Gajah pula meningkat kepada 69 orang.

PPS SK Durian Tunggal menempatkan 56 mangsa banjir, PPS SK Ganun (12) dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (seorang).

Ia susulan enam kawasan dinaiki air, iaitu Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Kampung Gadek Dalam dan Kampung Pengkalan.

Berita Harian X