Sabtu, 21 November 2020 | 9:32pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: KKM berpandu data klinikal, laporan rasmi ujian vaksin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu berpandu kepada data klinikal dan laporan rasmi berhubung ujian fasa ketiga vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan, bagi memastikan keselamatan serta keberkesanannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya bukan bergantung pada kenyataan media mengenai vaksin terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, KKM sedang menunggu laporan ujian fasa ketiga berkenaan walaupun sudah ada pengumuman dibuat oleh syarikat atau pihak yang sedang membangunkan vaksin terbabit, baru-baru ini.

"Jika ada data, kita akan melihat vaksin itu berkesan atau tidak. Setakat ini, kita tidak kata vaksin itu tidak berkesan, cuma tiada data yang diterbitkan lagi untuk kita lihat.

"Ada banyak persoalan dan data terbabit akan menjawab soalan berkenaan. Ada antara 10 hingga 12 syarikat sudah menjalankan fasa ketiga ujian klinikal yang datanya belum diterbitkan lagi.

"Oleh itu, kita menunggu data sebelum mempertimbang untuk membeli vaksin yang dikeluarkan," katanya pada Taklimat Khas Isu Semasa COVID-19 di KKM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa selepas data itu diperoleh, barulah KKM akan mempertimbangkan pemerolehan vaksin terbabit.

Beliau berkata, tindakan sama turut dilaksanakan terhadap sebarang pembelian ubat-ubatan.

"Kita tidak boleh daftar vaksin melalui laporan media kerana ia perlu dikaji dengan teliti," katanya.

Beliau berkata, vaksin COVID-19 dibangunkan ketika ini masih belum berdaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat.

"Banyak syarikat belum habis menjalankan penyelidikan lagi. Oleh itu, kita perlu mengkaji dengan teliti mengenai vaksin berkenaan.

"Vaksin terbabit sama seperti ubat, ia perlu didaftarkan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya.

Berita Harian X