Sabtu, 21 November 2020 | 7:06pm

COVID-19: 3 kematian hari ini

PUTRAJAYA: Tiga kematian disebabkan oleh COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 332 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kematian berkenaan direkodkan di Sabah iaitu satu kes masing-masing dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

Katanya, kes kematian ke-330 yang dilaporkan di Hospital Queen of Elizabeth itu membabitkan lelaki berusia 62 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, obesiti dan penyakit buah pinggang kronik.

"Kematian ke-331 dilaporkan di Hospital Lahad Datu membabitkan lelaki berusia 78 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan terlantar.

"Bagi kes kematian ke-332 pula dilaporkan di Hospital Keningau, iaitu perempuan berusia 55 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, setakat jam 12 tengah hari ini seramai 1,405 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh di negara ini sebanyak 40,493 kes.

Berita Harian X