Jumaat, 20 November 2020 | 11:39pm
Pemimpin negara menunjukkan dokumen deklarasi pada mesyuarat hari terakhir Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020. - Foto Asyraf Hamzah
Pemimpin negara menunjukkan dokumen deklarasi pada mesyuarat hari terakhir Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan dokumen deklarasi ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan dokumen deklarasi ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020. - Foto Asyraf Hamzah

APEC 2020: Pemimpin negara anggota setuju terima pakai Wawasan Putrajaya 2040

PUTRAJAYA: Pemimpin negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengakhiri mesyuarat ke-27 forum itu sebentar tadi, dengan mengisytiharkan persetujuan menerima pakai Wawasan Putrajaya 2040 sebagai visi baharu, yang bakal menentukan hala tuju masa depan rantau ini.

Wawasan Putrajaya 2040 bermatlamat mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang aman, terbuka, dinamik dan berdaya tahan menjelang 2040, demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan semua negara anggota.

Menerusi wawasan itu, negara anggota akan memastikan Asia Pasifik terus menjadi rantau ekonomi yang dinamik dan terkemuka dalam segmen perdagangan dan pelaburan, selain meneruskan Matlamat Bogor dalam mengintegrasi ekonomi di rantau berkenaan.

Negara anggota juga bersetuju memperkasakan bidang inovasi dan digitalisasi dalam mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih utuh bersandarkan ekonomi digital.

Wawasan Putrajaya APEC 2040 akan memastikan rantau Asia Pasifik menjadi lebih kuat dan mampu berdepan sebarang krisis, pandemik atau sebarang perkara kecemasan selain berusaha meningkatkan kemakmuran yang mampu memberi manfaat kepada semua.

Bagi memastikan peranan APEC sebagai pentas utama kerjasama ekonomi serantau, negara anggota akan terus bersama menjadikan gabungan itu sebagai institusi usaha sama menerusi pemegang taruh dan mengamalkan tadbir urus yang baik.

Terdahulu, semua 21 pemimpin APEC mengadakan sesi bergambar sambil mengangkat dokumen Deklarasi Kuala Lumpur yang julung kali diadakan secara maya, sebagai komitmen bersama dalam mendepani pelan tindakan pemulihan ekonomi serantau.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan mesyuarat itu, turut menyerahkan hak penganjuran sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2021 kepada New Zealand, selaku tuan rumah pada tahun depan.

Majlis simbolik penyerahan itu disempurnakan kepada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, secara maya.

Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020, disertai 21 pemimpin negara anggotanya, yang berlangsung secara maya di sini, malam tadi.

Antara pemimpin negara menyertai mesyuarat itu ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri, New Zealand, Jacinda Ardern; Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga.

Selari tema APEC 2020, iaitu Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran, Muhyiddin berkata, ia menjadi peringatan kepada negara anggota bahawa sebarang usaha yang dilakukan perlu menyumbang kepada kemakmuran rakyat.

Sementara itu, Deklarasi Kuala Lumpur 2020, yang dipersetujui semua pemimpin APEC, menekankan usaha memerangi penularan COVID-19, selain merencana strategi pengukuhan empat aspek pertumbuhan negara.

Dimeterai hasil kesepakatan 21 negara anggota, deklarasi itu antara lain mengetengahkan tekad setiap pemimpinnya memacu pemulihan Asia Pasifik daripada krisis kesihatan awam, yang menyebabkan kepincangan pertumbuhan ekonomi serantau.

Sehubungan itu, kerjasama negara anggota akan tertumpu kepada kepentingan merangka dasar bersama untuk menjana kesan positif dan lestari, demi melonjak taraf kehidupan rakyat menerusi beberapa mekanisme tertentu.

"Kami menyedari keperluan menambah baik pendekatan rangsangan bagi membantu kadar pemulihan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, justeru usaha seterusnya akan berkisar kepada usaha memperkasa kedudukan fiskal yang lestari serta telus.

"Ini bagi membantu pertumbuhan ekonomi yang utuh dalam jangka panjang dan memenuhi keperluan pembiayaan pada masa depan," menurut deklarasi itu.

Terdahulu, Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020 disertai 21 pemimpin negara anggotanya, juga berlangsung secara maya.

Antara pemimpin negara menyertai mesyuarat itu ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Selain itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga.

Berita Harian X