Jumaat, 20 November 2020 | 8:26pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) APEC yang diadakan secara maya malam ini.Turut sama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) dan Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.-BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) APEC yang diadakan secara maya malam ini.Turut sama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) dan Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.-BERNAMA

Malaysia syor APEC terap agenda Kemakmuran Bersama

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesyorkan, negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menerapkan agenda Kemakmuran Bersama, supaya setiap lapisan masyarakat dapat merasai kesan limpahan pertumbuhan ekonomi serantau.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendekatan kemakmuran bersama yang sudah dilaksanakan negara ini, mampu menangani kepincangan aspek agihan kekayaan supaya lebih saksama.

Ketika mengetengahkan syor itu, Perdana Menteri mengakui, perdagangan dan pelaburan selama ini menjadi pemangkin ke arah pertumbuhan ekonomi dan pengembangan kemakmuran di rantau Asia Pasifik.

Bagaimanapun, katanya, wujud kebimbangan yang semakin meruncing apabila segelintir segmen masyarakat di rantau ini, masih tidak menerima 'limpahan' kekayaan daripada kedua-dua faktor ekonomi berkenaan.

"Berdasarkan pandangan Malaysia, ini berupaya ditangani menerusi kemakmuran bersama. Kemakmuran bersama ialah usaha penjajaran semula pembangunan ekonomi dan kemakmuran, bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat terbabit secara langsung dalam rangkaian aktiviti ekonomi.

"Selain itu, pendekatan sebegini dapat menjamin setiap segmen masyarakat merasai kesan limpah daripada pertumbuhan ekonomi yang dirintis negara anggota.

"Kemakmuran bersama juga akan memacu fokus APEC dalam meningkatkan taraf hidup setiap rakyat," katanya dalam ucaptama pembukaan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020, yang berlangsung secara maya, di sini, malam ini.

Selari tema APEC 2020, iaitu Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran, Muhyiddin berkata, ia menjadi peringatan kepada negara anggota bahawa sebarang usaha yang dilakukan perlu menyumbang kepada kemakmuran rakyat.

Bersandarkan analogi itu, katanya, ia wajar diterjemahkan kepada tekad negara anggota APEC untuk menggembleng tenaga dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 yang sehingga kini menyaksikan struktur ekonomi global menjadi 'lumpuh' angkara krisis kesihatan berkenaan.

"Tidak dapat tidak, pandemik COVID-19 mencetuskan kesan berpanjangan terhadap cara kita memacu usaha perdagangan dan memberi keutamaan ekonomi dalam kalangan negara anggota APEC.

"Hari ini, dalam kita merencana kerjasama untuk menangani impak COVID-19, kewujudan APEC menjadi semakin relevan. Tatkala merintis usaha penyelesaian bagi mengimbangi kepentingan ekonomi dan kesihatan rakyat, kita diingatkan untuk mengetepikan perbezaan.

"Sebaliknya, cari titik persamaan di antara kita kerana faktor sedemikian bakal menjadi 'resepi' utama yang mampu menyelamatkan manusia ketika dilanda malapetaka.

"Sehubungan itu, kita perlu memastikan setiap orang menerima capaian kepada vaksin dan teknologi kesihatan yang mampu milik serta berasaskan prinsip kesaksamaan," katanya.

Menyingkap siri kejayaan APEC, Muhyiddin berkata, jumlah dagangan antara ekonomi negara gabungan itu dengan dunia kini melonjak lebih empat kali ganda, sejak perjanjian Matlamat Bogor dimeterai pada 1994.

Hanya dalam tempoh 26 tahun, beliau berkata, APEC kini mewakili hampir 50 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan dunia, sekali gus mencerminkan tahap perpaduan 21 negara anggota.

"Bersandarkan prinsip perpaduan itu, lebih dua pertiga daripada peratusan dagangan itu dilaksanakan sesama negara anggota APEC. Begitu juga dengan aspek pelaburan apabila aliran masuk modal ke dalam ekonomi APEC meningkat pada kadar dua pertiga, manakala aliran keluar modal melonjak tiga kali ganda.

"Kita sekarang ini mewakili separuh daripada keseluruhan penerima 10 Pelaburan Langsung Asing (FDI) terkemuka dunia," katanya.

Berita Harian X