Jumaat, 20 November 2020 | 9:20am
Foto hiasan
Foto hiasan

Seremban, Rembau alami gangguan bekalan air

SEREMBAN: Penduduk daerah Seremban dan Rembau, Negeri Sembilan akan mengalami gangguan bekalan air sementara selama 24 jam mulai 8 pagi pada 24 November ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail, berkata ia berikutan kerja penyelenggaraan berjadual pengalihan paip di Jambatan Sungai Temiang, Seremban.

Beliau berkata, ia juga bagi pencucian tangki air di Loji Rawatan Air (LRA) Pedas Lama, Rembau.

"Gangguan bekalan air ini membabitkan 66 kawasan iaitu masing-masing 33 di daerah Seremban dan Rembau.

"Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja berkenaan selesai.

"Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka akan mengalami tempoh gangguan lebih lama. Kerja-kerja ini antara usaha SAINS untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti bekalan air," katanya.

Katanya, di Seremban, gangguan membabitkan kawasan Taman Bukit Sentosa, Taman Sapphire, Taman Bukit Berlian, Berlian Tropica, Taman Kotamas, Taman Chip Aik, Taman Bukit Desa, Taman Jayamas, Taman Markisa, Taman Templer, Industri Templer, Taman Bukit Mika, Taman Dawn Estate, Taman Sri Amber dan Taman Templer Heights.

"Turut mengalami gangguan bekalan air ialah Taman Makmur, Taman Bengawan, Taman Kwong Tong, Taman Bukit Jade, Mount Jade, Taman Baiduri, Taman Bukit Intan dan Taman Permata.

"Selain itu, Taman Tuanku Abdul Rahman, Taman Suria, Taman Bukit Lemon, Jalan Lobak, Jalan Velloo, Jalan Muthucumaru, Jalan Tun Dr Ismail, sebahagian Jalan Temiang, seluruh kawasan Templer dan sebahagian pusat bandar Seremban," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagi daerah Rembau pula katanya, ia membabitkan Kampung Air Panas Pedas, Kampung Sungai Beringin, Kedai Makan Majlis Chembong, Jabatan Pertanian Chembong, Rumah Kanak-kanak Rembau, Kilang Ayam Chembong, Kampung Anak Air Kundur, Kampung Paya Besar dan Taman Rembau Permata.

Beliau berkata, selain itu, Taman Rembau Jaya, Kampung Seberang Batu Hampar, Kuarters JPJ Pedas dan Ladang Air Hangat, Wet World Air Panas Pedas, Kampung Mungkal, Sekolah Menengah Agama Pedas, Desa Permai, Pedas, Kampung Gaing Lama, Pekan Pedas, Kampung Gaing Baru, Taman Koperasi (KSNS), Ladang Ulu Pedas dan Kampung Baru Tanjung Terap.

Menurutnya, gangguan bekalan air turut membabitkan Kampung Tanjung Terap, Kampung Air Sekapas, Chembong Halt, Kampung Baru Air Sekapas, Kampung Chembong Kecil, Kampung Waris Tebat, Rumah Rakyat Pedas, Klinik Kesihatan Pedas dan Pekan Pedas (deretan kedai).

Pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi SAINS dengan menelefon talian bebas tol 1-800-88-6982.

Berita Harian X