Khamis, 19 November 2020 | 10:37am
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

APEC main peranan penting terajui pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR: Gagasan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) memainkan peranan penting untuk menerajui pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata selaku sebuah pertubuhan yang mewakili 60 peratus ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, APEC perlu berdagang dan melabur bagi mencari jalan keluar daripada kemelesetan ekonomi semasa.

Katanya, negara anggota APEC perlu bersama-sama dan bekerja secara membina dalam mengemudi rantau ini ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inklusif dan mampan.

"APEC sentiasa menjadi inkubator idea yang berkesan, bahkan mungkin sebagai penentu trend, untuk konsep kolaboratif baharu dalam bidang-bidang seperti kerjasama ekonomi dan teknikal serta kemudahan perdagangan.

"Hari ini, ketika kita menerapkan norma-norma baharu susulan penularan wabak, APEC secara tepat sudah memanfaatkan kemampuannya untuk secara sukarela meneroka inisiatif yang akan mempercepat pemulihan rantau ini.

"Dalam hal ini, kita mesti bekerjasama dengan komuniti perniagaan. Sebagai sebuah entiti ekonomi, APEC harus kekal peka terhadap keperluan sektor swasta dan terus memupuk persekitaran yang meningkatkan keyakinan perniagaan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Dialog CEO APEC 2020 secara maya di sini, hari ini.

Dalam hal ini, katanya semua pihak mesti bekerjasama dengan komuniti perniagaan dan APEC harus kekal peka terhadap keperluan sektor swasta dan terus memupuk persekitaran yang meningkatkan keyakinan perniagaan.

"Kerjasama yang kuat antara kerajaan dan sektor swasta sangat penting untuk membolehkan kita berjaya mengatasi wabak ini dan mengurangkan kesan ekonomi akibat pendemik.

"Sementara kerajaan boleh terus melakukan langkah-langkah untuk memelihara ekosistem berorientasikan perdagangan dan pelaburan, ini akhirnya akan menjamin daya tahan dan kemampuan sektor swasta yang akan meningkatkan kemakmuran ekonomi APEC," katanya.

Muhyiddin juga mengakui di sebalik keutamaan banyak negara anggota APEC untuk berjuang melawan penularan pandemik, keseimbangan juga mesti diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi.

Berita Harian X