Selasa, 17 November 2020 | 7:01am

Sektor agromakanan domestik diperkasa

KUALA LUMPUR: Golongan petani, penternak dan nelayan mendapat perhatian khusus menerusi peruntukan Belanjawan 2021, selaras usaha kerajaan merancakkan sektor pertanian dan industri makanan domestik.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata peruntukan RM4.79 bilion itu adalah nilai besar yang membuktikan komitmen kerajaan sektor agromakanan dapat segera pulih pada setiap peringkat rantaian makanan susulan pandemik COVID-19.

"Belanjawan 2021 akan membolehkan kita membantu pengusaha agromakanan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada negara," katanya pada sidang media khas di sini, semalam.

Beliau berkata, perhatian kerajaan terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dapat memenuhi keperluan dalam melaksanakan perancangan dan projek memperkasakan sektor agromakanan negara.

Lebih penting, katanya, ia membolehkan kebajikan golongan petani, penternak dan nelayan serta usahawan tani terus terpelihara.

Ronald pada sidang media khas berkenaan peruntukan Belanjawan 2021 di Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ronald pada sidang media khas berkenaan peruntukan Belanjawan 2021 di Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ronald berkata, kementerian akan terus menumpukan usaha memodenkan sektor pertanian dan perikanan, selari dengan unjuran sumbangan 4.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

"Sebagai contoh, pelbagai insentif dan bantuan diumumkan akan melonjakkan daya saing pengeluaran padi dan beras menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan, selain meringankan beban rakyat dalam iklim ekonomi yang mencabar masa ini.

"Jumlah subsidi dan insentif yang diterima pada 2021 meningkat RM50 juta berbanding sebelum ini, iaitu RM960 juta untuk subsidi dan insentif tanaman padi, termasuk RM40 juta subsidi padi bukit dan RM570 juta untuk insentif harga padi.

"Keseluruhan subsidi dan insentif bagi sektor padi akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, golongan nelayan akan menerima Elaun Sara Hidup Nelayan menerusi peruntukan RM30 juta, membabitkan peningkatan elaun daripada RM250 kepada RM300 sebulan bagi setiap nelayan.

"Pertambahan ini akan memanfaatkan kira-kira 40,000 nelayan dan ini adalah usaha kerajaan mengembalikan elaun yang sebelum ini dipotong," katanya.

Menyentuh tujuh inisiatif utama MAFI menerusi peruntukan RM410 juta, Ronald berkata, pihaknya teruja melaksanakan Program Kebun Komuniti atau Kebuniti menerusi peruntukan RM30 juta yang bakal memanfaatkan 60,000 peserta.

Seiring ledakan teknologi, katanya, MAFI mahu memastikan Program Ladang e-Satelit dapat dijayakan sebaik mungkin.

"Kita mendapat peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga maksimum RM30,000 bagi setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ia akan sampai kepada 294 PPK dengan keahlian hampir satu juta petani dan peladang," katanya.

Ronald berkata, Projek Pertanian dan Penternakan Berimpak dan Bernilai Tinggi dengan peruntukan RM100 juta, akan dilaksanakan bersama kerajaan negeri sebagai antara langkah memajukan sektor pertanian secara menyeluruh.

Katanya, kemudahan pinjaman turut disenaraikan menerusi Skim Pembiayaan Mikrokredit di bawah Agrobank yang akan membuka peluang kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan wanita dan orang muda.

Berita Harian X