Isnin, 16 November 2020 | 10:19pm
Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba untuk mempengerusikan mesyuarat APEC peringkat menteri secara maya hari ini pada mesyuarat APEC 2020 Malaysia.- Foto BERNAMA
Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba untuk mempengerusikan mesyuarat APEC peringkat menteri secara maya hari ini pada mesyuarat APEC 2020 Malaysia.- Foto BERNAMA

Malaysia perhalusi Visi Pasca 2020 - Azmin

KUALA LUMPUR: Visi-Pasca 2020 yang akan menjadi panduan jangka panjang merancakkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi Asia Pasifik (APEC), turut mengambil kira proses pemulihan pasca-COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia bagi memastikan kelangsungan dan perkembangan ekonomi APEC yang berdaya tahan dan lestari.

Beliau berkata, ini bakal menjadi rujukan sama seperti visi pertama -- Matlamat Bogor yang diperkenalkan di Bogor, Indonesia pada 1994.

Beliau berkata, dokumen berkenaan akan memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju strategik serantau dari jangka masa panjang, sekurang-sekurangnya untuk dua dekad lagi.

"Kita berbesar hati kerana Malaysia adalah peneraju dalam penghasilan dokumen penting ini, satu manifestasi terhadap komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan.

"Kita juga amat terharu kerana menerima sokongan padu dan kerjasama yang tjdak berbelah bahagi semua pihak, khususnya pakar ekonomi dalam melengkapi fasa akhir Visi Pasca 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Peringkat Menteri, Persidangan APEC 2020, di sini, malam ini.

Azmin juga berkata, kerajaan turut menambah baik aspek perdagangan serantau dan agenda pelaburan, tanpa mengenepikan intipati sebenar matlamat kerjasama APEC.

"Semua proses ini dilakukan dengan begitu menyeluruh sambil menangani cabaran pandemik COVID-19, yang memberi kesan bukan sedikit terhadap landskap ekonomi global," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan dan keutamaan tahun ini turut diberikan kepada usaha menambah baik naratif perdagangan serta pelaburan, menerusi langkah menterjemah kesemua elemen terbabit menjadi satu pertumbuhan ekonomi inklusif.

"Ini bagi memberikan manfaat lebih besar dan kesejahteraan menyeluruh ke atas semua rakyat," katanya.

Berita Harian X