KUALA NERUS: Setiap kali menjelang musim tengkujuh, penduduk di Mengabang Telipot dan Kampung Pengkalan Maras bimbang kerana masalah hakisan yang semakin buruk di kawasan itu.
Sebelum ini, hakisan menjejaskan Pantai Tok Jembal, pantai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kampung Tengah, Kampung Kolam dan Kampung Tanjung Gelam, namun ia mula merebak hingga Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Pengkalan Maras.
Hakisan pantai dan air pasang besar menyebabkan sebuah jentolak yang sedang melakukan kerja-kerja mengalih paip di kawasan pantai, kini seperti sudah berada di laut.
Peniaga, Salbiah Kadir, 54, berkata dia berasa bimbang setiap kali menjelang musim tengkujuh kerana jarak kedainya dengan laut kini hanya tiga meter.
"Dahulu, jarak kedai dengan pantai kira-kira satu kilometer. Kami di sini runsing setiap kali tiba musim tengkujuh apatah lagi melihat ombak yang tinggi dan bunyi ombak yang kuat terutama pada waktu malam.
"Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, saya bimbang kedai ini akan turut musnah dipukul ombak," katanya.
Pesara tentera, Zul Alias, 58, berharap kerajaan dapat mengatasi isu hakisan dengan segera memandangkan ia sudah berlarutan hampir 10 tahun.
Katanya, langkah kerajaan menambak kawasan pantai yang terhakis dengan batu dilihat tidak begitu berkesan apabila hakisan pantai masih berlaku.
"Pembinaan benteng pemecah ombak idea yang bagus namun kita sedar ia memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, saya berpendapat mungkin pihak berkaitan boleh membuat pulau tiruan atau lagun seperti yang ada di Tok Jembal.
"Kita tahu apa yang berlaku ini lumrah alam namun kami penduduk di sini berharap isu hakisan pantai ini diselesaikan segera," katanya.