Jumaat, 13 November 2020 | 5:17pm
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hairil Yahri Yaacob.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hairil Yahri Yaacob.

Malaysia susun strategi sebagai tuan rumah APEC 2020

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menyusun strategi dan bergerak dengan semangat baru serta tekad dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai tuan rumah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hairil Yahri Yaacob, berkata ini termasuklah penyusunan semula perancangan APEC 2020, keutamaan kerja dan mesyuarat yang akan menyumbang

ke arah mencapai hasil yang terbaik untuk tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, berkata pandemik COVID-19 yang melanda dunia hampir menghentikan penganjuran APEC 2020 dan mengganggu perancangan yang telah diatur untuk tahun ini.

"Wabak ini telah menyebabkan Malaysia sebagai tuan rumah dan semua anggota ekonomi APEC untuk bertindak segera terhadap krisis yang sedang berlaku ini," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Rumusan Pegawai Kanan (CSOM) hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Hairil turut memberi penjelasan bahawa CSOM adalah platform bagi pegawai kanan APEC untuk melaksanakan tugas dan pencapaian sebelum dilaporkan kepada kepimpinan kerajaan masing-masing.

Beliau turut menjelaskan bidang keutamaan yang dijadikan asas kepada program kerja dan inisiatif yang akan dilaksanakan oleh jawatankuasa, fora dan sub-fora untuk bagi 2020 serta mengenal pasti penyampaian khusus di bawah setiap bidang keutamaan.

"Antara soroton yang diberi kepada CSOM adalah kenyataan yang dibuat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) pada Mei, mencerminkan komitmen APEC untuk meneruskan kerja, walaupun terdapat banyak cabaran di masa hadapan.

"Kejayaan organisasi enam Mesyuarat Menteri Sektoral, iaitu Perdagangan, Kesihatan, Kewangan, Wanita, PKS dan Keselamatan Makanan, telah memimpin kepada penerbitan tujuh kenyataan bersama menteri," katanya.

Hairil berkata, pihaknya turut menyampaikan situasi semasa kemajuan dalam Visi Pasca 2020, Mesyuarat Menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AMM) dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM).

Beliau berkata, adalah penting bagi pegawai kanan untuk menyelesaikan dan segera mencapai kata sepakat mengenai ketiga perkara itu.

Malaysia memilih tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran' bagi APEC 2020, yang mencerminkan bahawa falsafah yang mendokong forum ini adalah 'Perkongsian Kemakmuran'.

Mesyuarat utama akan diadakan bermula hari ini membabitkan Mesyuarat Rumusan Pegawai Kanan (CSOM) diikuti AMM pada 16 November; Mesyuarat ABAC IV (17 November); Dialog CEO APEC (19 hingga 20 November); dan AELM pada 20 November ini.

AMM akan dipengerusikan oleh Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan dijalankan secara maya dengan dihadiri Menteri Perdagangan dan Menteri Luar peserta ekonomi APEC.

Agenda utama AMM adalah meningkatkan perdagangan dan pelaburan, keutamaan pelaburan dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19, kerjasama serantau dalam ekonomi digital dan kelestarian, pemerkasaan ekonomi wanita, keselamatan makanan, pengurusan sumber asli secara lestari dan pembaharuan struktur.

Kemuncak persidangan APEC adalah AELM yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat depan.

Persidangan secara maya itu akan turut dihadiri oleh semua 21 pemimpin utama ekonomi APEC.

COVID-19 akan menjadi topik utama perbincangan AELM dalam tindak balas ekonomi bagi mengurangkan impak kesihatan dan kesan ekonomi.

Malaysia juga akan mengukuhkan APEC menjadi satu konsensus penting dalam forum ekonomi serantau utama.

Berita Harian X