Khamis, 12 November 2020 | 2:33pm
Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020
Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020

Tiga agenda jadi tumpuan Malaysia pada mesyuarat APEC

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menumpukan tiga agenda utama semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) dan Mesyuarat Menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AMM) sempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Tumpuan utama itu adalah meningkatkan perdagangan dan pelaburan, penyertaan inklusif melalui digital ekonomi dan teknologi, serta peralihan ke arah kelestarian inovatif.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 100 mesyuarat berkaitan APEC dengan 70 mesyuarat akan dijalankan secara maya.

Selain AELM dan AMM, mesyuarat utama lain yang akan dipengerusikan Malaysia adalah Mesyuarat Menteri Sektor, Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) dan SOM Sesi Khas bagi Visi Pasca-2020.

Malaysia memilih memilih tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran' bagi APEC 2020, yang mencerminkan bahawa falsafah yang mendokong forum ini adalah 'Perkongsian Kemakmuran'.

Mesyuarat utama akan diadakan bermula esok membabitkan Mesyuarat Rumusan Pegawai Kanan (CSOM) diikuti AMM pada 16 November; Mesyuarat ABAC IV (17 November); Dialog CEO APEC (19 hingga 20 November); dan AELM pada 20 November ini.

AMM akan dipengerusikan oleh Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan dijalankan secara maya dengan dihadiri Menteri Perdagangan dan Menteri Luar peserta ekonomi APEC.

Agenda utama AMM adalah meningkatkan perdagangan dan pelaburan, keutamaan pelaburan dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19, kerjasama serantau dalam ekonomi digital dan kelestarian, pemerkasaan ekonomi wanita, keselamatan makanan, pengurusan sumber asli secara lestari dan pembaharuan struktur.

Kemuncak persidangan APEC adalah AELM yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat depan.

Persidangan secara maya itu akan turut dihadiri oleh semua 21 pemimpin utama ekonomi APEC.

COVID-19 akan menjadi topik utama perbincangan AELM dalam tindak balas ekonomi bagi mengurangkan impak kesihatan dan kesan ekonomi.

Malaysia juga akan mengukuhkan APEC menjadi satu konsensus penting dalam forum ekonomi serantau utama.

Berita Harian X