Selasa, 10 November 2020 | 6:04pm
Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood pada sidang media Dialog CEO APEC di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aswadi Alias
Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood pada sidang media Dialog CEO APEC di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aswadi Alias

Kerjasama APEC perkukuh ekonomi pasca COVID-19

KUALA LUMPUR: Kerjasama utuh 21 negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan menjadi kunci utama dalam usaha memperkasakan ekonomi pakatan perdagangan itu pasca COVID-19.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood, berkata pandemik COVID-19 mendorong kerjasama dan kesepakatan yang lebih mendalam membabitkan anggota kerjasama ekonomi serantau itu.

Beliau berkata, tumpuan ABAC tahun ini adalah untuk menangani keperluan pemulihan serantau dan membangunkan ketahanan untuk kejutan masa depan.

Katanya, bersandarkan kepada pengalaman dan pengajaran daripada usaha membendung impak pandemik COVID-19, ABAC mencadangkan kepada 21 pemimpin ekonomi APEC kaedah integrasi, inovasi, keterangkuman dan kemampanan memulihkan pertumbuhan ekonomi pasca COVID-19.

"Pertumbuhan global dijangka menguncup 5.2 peratus dan rantau APEC dijangka susut 3.7 peratus pada 2020.

"Justeru, perlunya kerjasama yang lebih mendalam untuk mengembalikan ekonomi dalam landasan pemulihan yang kukuh," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rohana berkata, sempadan serantau perlu dibuka semula dan rangka kerja serantau perlu dibangunkan untuk mengekang gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata, pekerja juga perlu dilatih semula dengan tumpuan dalam pendigitalan yang mana segmen berkenaan berperanan penting dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Mengulas sama ada kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu akan memberi kesan terhadap dasar serantau, Rohana berkata, adalah terlalu awal untuk menjangkakan sebarang perubahan dasar negara itu.

Beliau berkata, apa yang dilihat tindakan kerajaan baharu AS adalah dengan menubuhkan pasukan petugas khas COVID-19, sekali gus menunjukkan isu domestik menjadi keutamaan untuk diselesaikan.

Sementara itu, Anggota ABAC Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pasaran mengalu-alukan kejelasan dan bertindak balas secara positif kepada kemenangan Biden dan penemuan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, pasaran dijangka mencatatkan  peningkatan semula mendadak dalam pemulihan tahun depan.

Anggota ABAC Malaysia merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Westports Holdings Bhd dan Pengerusi Dialog CEO APEC, Datuk Ruben Gnanalingam, pula berkata Dialog CEO APEC akan diadakan secara maya sepenuhnya susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, dialog itu akan diadakan pada 19 hingga 20 November ini dengan beberapa pemimpin utama APEC bersetuju untuk berucap pada dialog berkenaan.

ABAC ditubuhkan oleh Pemimpin APEC pada 1995 dan menjadi suara utama perniagaan dalam APEC.

Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Taiwan, Thailand, AS dan Vietnam.

Berita Harian X