Isnin, 9 November 2020 | 12:53pm
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

'Mari sama-sama hargai jasa barisan hadapan'

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata langkah hadkan 80 Ahli Parlimen masuk ke Dewan Rakyat yang bersidang tidak melanggar Perlembagaan dan undang-undang.

Sambil menegur wakil rakyat pembangkang yang terus mempersoalkan langkah itu, Azhar meminta Parlimen meminta supaya Ahli Parlimen menghargai jasa petugas barisan hadapan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengekang penularan COVID-19.

"Marilah kita membalas budi, titik peluh menghargai jasa petugas barisan hadapan. Marilah kita menghargai Dr Noor Hisham yang bertungkus lumus selama tujuh bulan.

"Hari-hari, siang malam, tak kira Ahad, Isnin, Selasa, cuti umum untuk mengawal pandemik ini," katanya ketika menjawab isu dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang) di Dewan Rakyat, hari ini.

"Di manakah terdapatnya dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap masa saya perlu mendengar 222 orang Ahli Parlimen dalam dewan? (kerana) Korumnya 26 orang (mengikut) Peraturan Mesyuarat dan kita ada 80 orang. Bukan saya nak mengekang daripada berdebat (kerana) semua yang dipilih Parti Whip boleh berdebat, dipersilakan.

"(Lagipun) Setiap hari persidangan, bukannya 222 ada dalam dewan pun. Yang datang dalam 120 orang, dan bukannya mereka ada dalam dewan dari 10 pagi sampai 5.30 petang. Selepas 2.30 petang, kadang-kadang nak ada korum pun tak cukup. Jadi bila kita buat konsensus 80 orang (Ahli Parlimen), tiba-tiba perkara ini jadi besar, kenapa?," katanya.

Terdahulu, Hassan mempertikai sidang Dewan Rakyat diadakan dengan kehadiran 80 orang Ahli Parlimen pada perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang didakwa tidak mematuhi Perlembagaan.

Katanya, peraturan mengehadkan kepada 80 Ahli Parlimen itu perlu ditarik balik kerana larangan wakil rakyat masuk ke persidangan adalah bertentangan Perlembagaan.

"Sekarang adalah sidang (bagi) membahaskan dan meluluskan belanjawan ini. Ertinya, bukan sidang yang biasa-biasa. Tidak boleh belanjawan diluluskan diadakan dengan keadaan parlimen yang tidak sah," katanya.

Beliau berkata Undang-undang Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang diguna pakai KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Persekutuan bersama peraturan Parlimen yang dibuat speaker, menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen dan Ketua Whip dari semua parti tidak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap Ahli Parlimen masuk ke Dewan Rakyat.

Berita Harian X