Jumaat, 6 November 2020 | 6:16pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Belanjawan 2021: RM1 bilion rancak aktiviti digital

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 untuk pelaksanaan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bagi merancakkan aktiviti pendigitalan, dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengutamakan automasi dan pendigitalan.

"Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) akan melaksanakan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion bertujuan merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, kerajaan juga memperuntukkan dana tambahan berjumlah RM150 juta bagi bagi menyokong aktiviti automasi dan modenisasi.

Katanya, dana tambahan itu disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Geran Automasi.

"Syarat kelayakan geran ini turut dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama enam bulan," katanya.

Berita Harian X