Rabu, 4 November 2020 | 6:11pm
(Gambar fail) Foto hiasan - Arkib NSTP
(Gambar fail) Foto hiasan - Arkib NSTP

Belanjawan 2021: Perkasa, perkukuh pendekatan TVET

KUALA LUMPUR: Pendekatan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu diperkasa serta diperkukuh.

Ia berikutan sindrom pengangguran sudah mula melanda kumpulan graduan kemahiran daripada institusi latihan kemahiran awam dan swasta di negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohamad Rizan Hasan, berkata justeru usaha itu wajar diberikan tumpuan khusus dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan, lusa.

Selain soal gaji minimum, beliau berkata, semua pihak terbabit perlu melihat ruang dan peluang lebih besar yang boleh diberikan kepada pekerja mahir berpengalaman untuk terbabit dalam bidang TVET negara.

"Industri kini berdepan kualiti graduan TVET yang dilahirkan institusi kemahiran tidak menepati kehendak atau keperluan industri.

"Ia disebabkan banyak faktor, antara lain teknologi yang berkembang pesat, kemudahan dan peralatan di institusi yang lama, serta kemahiran tenaga pengajar perlu dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya pekerja mahir berpengalaman dalam industri diberi peluang berkhidmat sebagai tenaga pengajar jemputan di institusi kemahiran, tanpa dibebankan dengan halangan syarat pentadbiran.

"Insentif tunai boleh diberikan kepada mereka, manakala insentif tertentu untuk majikan yang sedia melepaskan pakar mereka untuk tempoh tertentu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, lebih banyak peruntukan khas berbentuk geran wajar diberi bagi mengiktiraf pengalaman pekerja berkemahiran yang memasuki alam pekerjaan tanpa sebarang kelayakan kemahiran.

"Pengiktirafan seperti Persijilan Kemahiran Malaysia (PKM) penting bagi peningkatan kerjaya kumpulan ini.

"Pendekatan latihan jangka panjang antara enam hingga 36 bulan, semakin tidak mendapat tempat dalam hati golongan belia lepasan sekolah menengah, terutama mereka yang tercicir akademik atau tidak berpeluang memasuki mana-mana institusi latihan," katanya.

Justeru, beliau berkata, pendekatan latihan jangka pendek dengan penyertaan industri sebagai rakan kongsi, perlu diwujudkan.

Selain itu, katanya, dana berbentuk geran atau pinjaman wajar disediakan untuk program jangka pendek terbabit bagi menarik minat belia.

Dalam pada itu, beliau berkata, konsep latihan 'Teaching Factory' (TEFA) perlu dijadikan kaedah terkini dalam latihan TVET di Malaysia.

"TEFA adalah untuk komunikasi pengetahuan dan kemahiran dua hala antara institusi latihan dengan industri.

"Paradigma TEFA menyediakan persekitaran kehidupan sebenar bagi pelatih dan pakar industri untuk mengembangkan kemahiran serta memahami cabaran dalam amalan industri seharian," katanya.

Berita Harian X