Rabu, 4 November 2020 | 5:12pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Pengundi muda mudah dipengaruhi isu 'bermusim' dan tular

KUALA LUMPUR: Orang muda cenderung menjadi penentu kemenangan sesebuah parti pada pilihan raya atau 'kingmaker' bersandarkan sentimen dan idealisme yang dapat mempengaruhi undian mereka.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun dianggap masih tidak matang isu politik negara kerana kurang cakna hingga mudah dipengaruhi isu 'bermusim' dan tular ketika ini.

Beliau berkata, orang muda terutama berbangsa Melayu juga dilihat tidak berminat untuk daftar undi berbanding bukan Melayu lebih peka dan cakna hak masing-masing.

"Pengundi 18 tahun akan beri kelebihan kepada parti yang golongan muda ini mendapat manfaat ataupun faedah besar. Sekarang ini, siapa dapat manfaat kita belum nampak lagi.

"Kalau dari segi segi pendaftaran undi orang yang bukan Melayu, mereka paling tinggi. Orang Cina berkelebihan sebab mereka ini mungkin diajar untuk ambil tahu terhadap kepentingan jadi pengundi.

"Tak pasti apa menyebabkan mereka minat untuk mengundi, mungkin dapat insentif atau sebagainya.

"Oleh itu, siapa atau parti mana yang dapat tarik orang muda akan memberi kesan positif kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Maknanya undi golongan muda ini akan memberi kesan besar kepada kerajaan akan datang," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kelebihan pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan daftar pemilih secara automatik terhadap landskap politik negara, terutama pada PRU akan datang.

Semalam di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.

Rusdi yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, di kaca mata pengundi muda yang berumur antara 18 hingga 20 tahun, golongan itu tidak melihat sesebuah kerajaan itu bagus atau tidak.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka cuma akan memilih berdasarkan apa kerajaan akan berikan.

"Orang muda nak undi parti mana kita pun tak tahu. Tetapi mana-mana parti atau pemimpin yang mereka rasa boleh beri manfaat kepada mereka. Itu akan mereka undi.

"Kalau kita lihat pengundi 18 hingga 20 tahun, cara undi berdasarkan sentimen sebab mereka bukan tengok kerajaan bagus atau tidak, mereka akan tengok apa mereka akan dapat.

"Pada pandangan saya, pengundi berumur 18 hingga 20 tahun, baru lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama orang Melayu, cara mereka berfikir pun bila-bila masa boleh berubah," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata apabila undi 18 tahun didaftar automatik, ia membuka ruang kepada anak muda untuk menyumbang membina landskap politik negara.

Beliau berkata, ini bermakna dimensi hidup anak muda yang berdepan dengan isu seperti pendidikan, ekonomi dan sosial khususnya ketika era pandemik COVID-19 menjadikan anak muda cepat menjadi matang, kritis terhadap suasana politik semasa, peka kepada permasalahan yang berlaku dalam masyarakat.

"Generasi undi 18 tahun ini juga tidak terikat dengan mana-mana ideologi, namun mereka lebih terdedah dengan isu politik semasa melalui media sosial. Maka, mana-mana media sosial yang mampu mempengaruhi cita rasa pengundi muda, maka ia akan membentuk sikap pengundi muda negara.

"Sikap politik ini tak dapat dikawal oleh parti namun boleh ditentukan oleh peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis semasa yang dilihat lebih bebas politik kepartian yang sempit. Maka, sentimen prorakyat boleh mencetuskan momentum gerakan anak muda.

"Sekiranya ia berterusan, maka trend pengundian orang muda boleh berlaku seperti Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) yang masing-masing berpusu-pusu mengundi sehingga tampuk kerajaan pun berubah, pada PRU akan datang dan menjadi kingmaker," katanya.

Berita Harian X