Rabu, 4 November 2020 | 4:29pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Orang ramai diseru derma darah tampung bekalan di Sabah

KOTA KINABALU: Orang ramai di negeri ini diseru menderma darah bagi menampung bekalan darah yang agak kritikal di Hospital Queen Elizebeth I, Hospital Kudat dan Tuaran, kata Penyelaras Program Darah Pandemik COVID-19 Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah, Leslie Chane.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Program Darah BSMM Sabah, berkata penularan pandemik COVID-19 membimbangkan ramai penderma darah untuk turun menderma yang menyebabkan kekurangan bekalan darah di negeri ini.

Katanya, Unit Tabung Darah Hospital Queen Elizebeth I, Hospital Kudat dan Tuaran juga ditutup sementara waktu kerana terdapat kakitangan hospital yang disyaki positif COVID-19.

"Disebabkan ini, penderma tidak berani untuk menderma darah dan menyebabkan Unit Tabung Darah Sabah meminjam bekalan darah dari Hospital Kuala Lumpur dan Sarawak.

"BSMM memahami bahawa transfusi darah adalah komponen yang amat penting dalam perawatan pesakit," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Unit Tabung Darah Sabah meminjam bekalan darah sebanyak dua kali daripada dua hospital itu membabitkan 600 pain darah pada Mac dan 850 pain darah pada September lalu, dan sekurang-kurangnya 300 pain darah diperlukan sehari bagi hospital seluruh negeri namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai bekalan darah sedia ada.

Sehubungan itu, Leslie berkata BSMM Sabah akan menjalankan program derma darah di bangunan BSMM Sabah di sini pada setiap Jumaat hingga Ahad sepanjang bulan ini mulai jam 9 pagi hingga 4 petang. – BERNAMA

Berita Harian X