Isnin, 2 November 2020 | 4:41pm
Datuk Azhar Azizan Harun (kiri) dan Mohamed Hanipa Maidin.
Datuk Azhar Azizan Harun (kiri) dan Mohamed Hanipa Maidin.

Dewan Rakyat: Hari pertama sidang, provokasi sudah mula

KUALA LUMPUR: Tidak sampai tiga jam bersidang pada hari pertama, Dewan Rakyat sudah panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.

Ia bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan membentangkan usul bagi memendekkan tempoh persidangan hari ini.

Rentetan itu, M Karupaiya (PH - Padang Serai) tiba-tiba menyampuk ketika Azhar mengemukakan penjelasan berhubung penangguhan persidangan Dewan Rakyat, "kalau susah kita tukar kerajaanlah senang," katanya.

Azhar yang berang dengan kenyataan itu mempersoalkan hubung kait antara kenyataan Karupaiya dengan penjelasan mengenai penangguhan persidangan berkenaan.

"Apa pasal cakap macam itu? Apa kena-mengena dengan... kita ada usul 12(1) yang sepatutnya saya kemukakan masalah tanpa perbahasan," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Hanipa Maidin (PH - Sepang) yang bangun mencelah mempersoalkan tindakan Azhar, "Speaker jangan jawab soalan bagi pihak menteri boleh tak?".

Azhar yang berang dengan tindakan itu kemudian menegaskan, "Siapa jawab?"

Mohamed Hanipa: Tadi Yang Berhormat ditanya itu (Takiyuddin), Yang Berhormat jawab.

Azhar: Saya beri penerangan kerana saya yang pengerusikan mesyuarat ini.

Mohamed Hanipa: 'Come on' la Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat), we are tired la (kami penatlah).

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN - Sik): Duduklah Sepang (Mohamed Hanipa).

Perbahasan kemudian diteruskan dengan beberapa Ahli Parlimen lain memberikan pandangan mengenai usul berkenaan.

Usul dikemukakan Takiyuddin bagaimanapun lulus dengan sokongan suara terbanyak.

Dewan Rakyat hari ini hanya bersidang hingga jam 1 tengah hari susulan kebimbangan ada kakitangan Dewan Negara positif COVID-19.

Berita Harian X