Ahad, 1 November 2020 | 3:31pm
Gempa sekuat 7.0 skala Richter yang melanda pantai barat Turki pada tengah hari Jumaat lalu, bagaimanapun dilaporkan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa. - Foto AFP
Gempa sekuat 7.0 skala Richter yang melanda pantai barat Turki pada tengah hari Jumaat lalu, bagaimanapun dilaporkan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa. - Foto AFP

Kali pertama berdepan gempa bumi kuat- Pelajar Malaysia

PUTRAJAYA: Tidak sampai 10 minit Amelina Syifa Sharizaq Razak meletakkan beg di rumah rakannya di Çiğli, kira-kira 40 minit dari kediamannya di Bornova, Izmir, beliau mulai terasa pening dan terhuyung-hayang, pada tengah hari, Jumaat lalu.

Biarpun pernah mengalami suasana gempa bumi di Turki sepanjang hampir enam tahun pengajiannya di negara itu, bagi Amelina, 26, itu kali pertama beliau merasai pengalaman sedemikian.

"Ini kali pertama saya merasakan gempa bumi yang paling kuat sampai saya tak tahu nak buat apa-apa," katanya ketika dihubungi.

Melihat keadaannya sedemikian, rakannya yang berbangsa Turki , segera mengajak Amelina keluar dari apartmen berkenaan.

Konstabel Muhammad Aiman Nordin cedera selepas motosikal ditungganginya ditendang mat rempit yang mahu melarikan diri daripada ditahan polis. - Foto ihsan pembaca
Konstabel Muhammad Aiman Nordin cedera selepas motosikal ditungganginya ditendang mat rempit yang mahu melarikan diri daripada ditahan polis. - Foto ihsan pembaca

Amelina berkata, dalam keadaan kelam kabut dan ketakutan itu, mereka tidak sempat mengambil barangan peribadi termasuk telefon bimbit, sebaliknya terus keluar melompat melalui balkoni rumah rakannya itu yang terletak di tingkat bawah.

Beliau berkata, sebaik keluar dari apartmen rakannya, Amelina melihat sudah ramai warga Turki berada di luar rumah masing-masing selain menjerit, mengajak jiran tetangga mereka turut keluar dari kediaman.

Katanya, mereka berada di luar apartmen 10 tingkat itu untuk beberapa jam, berikutan takut untuk masuk semula ke dalam rumah selepas gempa bumi yang pertama.

"Selepas kira-kira dua jam kemudian, terasa satu lagi gegaran tetapi tidak sekuat serta selama yang pertama.

"Sebelum ini kalau ada gempa bumi berlaku gegarannya hanya beberapa saat tetapi gempa bumi yang saya rasai tengahari itu berakhir kira-kira lima minit," katanya.

Selepas keadaan reda, Amelina segera menghubungi rakan serumahnya di Bornova untuk mengetahui keadaan apartmen yang mereka diami di bandar itu.

Katanya, kediaman mereka terselamat walaupun Bornova dan Bayrakli antara bandar paling teruk terjejas dalam gempa bumi Izmir pada kekuatan 7.0 skala Richter itu.

Namun, katanya, beliau bernasib baik kerana kedudukan apartmen itu jauh dari pusat bandar Bornova.

Bagaimanapun, pelajar perubatan tahun ke lima di sebuah universiti di Bornova itu mengakui, beliau dan rakannya tidak berani tidur sepanjang malam kerana bimbang tidak terjaga jika berlaku gempa bumi lagi.

Malah, katanya, beliau turut memasukkan semua barang keperluan penting seperti air minuman dalam beg dan mengecas telefon bimbit serta meletakkannya berdekatan katil supaya mudah dicapai.

Katanya, kerajaan Turki turut mengingatkan warganya untuk bersedia keluar dari rumah masing-masing dan mencari perlindungan jika berlaku lagi gempa bumi.

Amelina berkata, beliau hanya pulang semula ke rumahnya di Bornova, semalam.

"Ketika pulang, bas yang saya naiki juga tidak melalui jalan biasa, sebaliknya dipesongkan ke laluan lain bagi membolehkan kerja mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi dapat dijalankan.

"Justeru, saya tidak dapat melihat sendiri kawasan yang teruk terjejas akibat gempa bumi itu.

"Pihak berkuasa juga menutup kawasan terjejas itu," katanya.

Gempa sekuat 7.0 skala Richter yang melanda pantai barat Turki pada tengah hari Jumaat waktu tempatan, seperti yang dilaporkan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), turut dirasakan dari Istanbul ke Athens, Greece.

Turut terkesan dengan gempa bumi di Laut Aegean tu adalah Pulau Samos, di Greece.

Berita Harian X