Sabtu, 31 Oktober 2020 | 8:11am
Malaysia mengucapkan takziah kepada kerajaan serta rakyat di Turki dan Greece susulan kematian dan kecederaan yang dialami penduduknya akibat bencana gempa bumi yang melanda Laut Aegean, semalam. - Foto AFP
Malaysia mengucapkan takziah kepada kerajaan serta rakyat di Turki dan Greece susulan kematian dan kecederaan yang dialami penduduknya akibat bencana gempa bumi yang melanda Laut Aegean, semalam. - Foto AFP

Malaysia bersimpati keadaan di Turki, Greece

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersimpati dan mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Turki serta Greece susulan bencana gempa bumi yang melanda Laut Aegean, semalam, sehingga menjejaskan penduduk kedua-dua negara.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan media tengah malam tadi, berkata ia memantau perkembangan bencana berukuran 7.0 skala Richter itu.

"Gempa bumi berkenaan memberikan kesan buruk terhadap bandar Izmir di Turki dan Pulau Samos di Greece.

"Kementerian ini ingin menyampaikan simpati dan ucapan takziah Malaysia kepada kerajaan dan rakyat di Turki dan Greece susulan kematian dan kecederaan yang dialami penduduknya susulan bencana alam itu.

"Malaysia bersama-sama dengan mereka pada waktu sukar ini," katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu menyebut, berdasarkan laporan awal, sekumpulan rakyat negara ini yang berada di Izmir selamat dan tiada rakyat negara ini yang terkesan secara langsung daripada bencana gempa bumi itu.

Kementerian itu juga menggesa rakyat Malaysia yang berada di Turki menghubungi Kedutaan Malaysia di Ankara atau Pejabat Konsul Jeneral di Istanbul manakala mereka yang berada di Greece boleh berbuat demikian dengan menghubungi Kedutaan Malaysia di Bucharest.

Kedutaan Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui talian +90 3124463547/ 48 atau faks +90 3124464130 dan emel kepada mwankara@kln.gov.my manakala Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul boleh dihubungi pada talian +90 212 3261956/ +90 536 2896788/ +90 552 7970509 atau emel mwistanbul@kln.gov.my.

Rakyat Malaysia di Greece pula boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Bucharest di talian+40 21 2113801/3802 atau faks +40 21 210 0270 dan emel di mwbucharest@kln.gov.my.

Agensi berita AFP, sebelum ini memetik Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca, sebagai berkata, empat terbunuh dan 120 cedera apabila gempa bumi kuat melanda pantai barat Turki dan beberapa bahagian di Greece semalam selain memusnahkan bangunan di bandar peranginan pantai Izmir.

Laporan itu juga menyebut gempa berkekuatan 7.0 skala Richter melanda pantai barat Turki semalam kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa itu, yang dirasakan dari Istanbul ke Athens, Greece melanda dekat kota peranginan Turki, Izmir, yang mempunyai kira-kira tiga juta penduduk.

USGS mengatakan, gempa bumi itu terjadi 14 kilometer (km) di luar bandar Neon Karlovasion, Greece, di pulau Samos di Laut Aegean.

Berita Harian X