Jumaat, 30 Oktober 2020 | 11:28pm
Dewan Rakyat akan bersidang semula pada Isnin ini. Foto arkib NSTP
Dewan Rakyat akan bersidang semula pada Isnin ini. Foto arkib NSTP

Majlis Peguam cadang gubal undang-undang antilompat parti

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam sekali lagi menggesa kerajaan mempertimbangkan penggubalan undang-undang antilompat parti pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

Presidennya, Salim Bashir, berkata undang-undang bertujuan menghalang Ahli Parlimen daripada beralih parti sehingga boleh menimbulkan pergolakan politik dalam negara.

"Ini kerana Malaysia berdepan beberapa pergolakan politik yang serius sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat sejak beberapa bulan kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Salim berkata, Majlis Peguam berpandangan tidak ada sekatan bagi Parlimen untuk menggubal undang-undang antilompat parti di peringkat Persekutuan walaupun bercanggah dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dalam kes Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan satu lagi menentang Nordin Salleh.

"Perkara 10(1)(c) Perlembagaan memperuntukkan setiap warganegara mempunyai hak untuk berpersatuan.

"Namun turut termaktub dalam Perlembagaan di bawah Perkara 10(2) ialah Parlimen, melalui undang-undang, boleh mengenakan sekatan yang dianggap perlu atau bermanfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian daripadanya, ketenteraman awam atau moral.

"Kami berpendapat beralih parti selepas diundi rakyat adalah satu pengkhianatan terhadap kepercayaan diberikan kepada mereka. Perlakuan sedemikian adalah politik yang tidak beretika dan perlu dielak bagi memelihara struktur demokratik di negara kita," katanya.

Beliau berkata, undang-undang antilompat parti mustahak untuk memperkukuh kestabilan politik dan kepercayaan umum terhadap proses demokratik selain tidak menjejaskan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

"Justeru, tindakan melompat parti atau berpaling tadah sama ada di DUN atau Parlimen seharusnya dijadikan sebagai satu perbuatan yang tidak sah bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan integriti perlembagaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X