Jumaat, 30 Oktober 2020 | 10:55pm
Pengeluaran simpanan Akaun 1 tidak seharusnya menjadi satu-satunya cara untuk pencarum mendapatkan tunai bagi berdepan tempoh sukar COVID-19 - Alizakri. Foto NSTP
Pengeluaran simpanan Akaun 1 tidak seharusnya menjadi satu-satunya cara untuk pencarum mendapatkan tunai bagi berdepan tempoh sukar COVID-19 - Alizakri. Foto NSTP

Pengeluaran Akaun 1 KWSP bukan penyelamat tunggal

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk membenarkan pengeluaran daripada Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibimbangi menimbulkan masalah kewangan kepada pencarum pada masa depan.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias, berkata caruman di KWSP adalah insurans masa hadapan pencarum dan jika pengeluaran simpanan dari akaun itu dibenarkan ia bakal membahayakan mereka untuk mendapat perlindungan itu.

Katanya, pengeluaran simpanan dalam Akaun 1 tidak seharusnya menjadi satu-satunya cara untuk pencarum mendapatkan tunai ketika melalui kesukaran mereka.

"Ketika ini, kerajaan menyediakan bantuan kewangan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), BPN SME+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kita Prihatin yang menelan belanja sehingga RM55 bilion untuk kumpulan B40 dan M40 serta kumpulan sasar lain.

"Malah pencarum turut dibenarkan untuk mengeluarkan wang akaun KWSP menerusi i-Lestari, dengan lebih RM11 bilion sudah dikeluarkan oleh seramai 4.7 juta pencarum, sejak April, tahun ini.

"Justeru, saya menyarankan pencarum membuat temu janji dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk mendapatkan pelan kewangan mereka ketika berdepan masa sukar ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan berkata, kerajaan sukar membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19.

Kata Muhyiddin, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan mencadangkan kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP dari Akaun 1 secara 'one-off' sehingga RM10,000 untuk kegunaan rakyat yang terjejas akibat COVID-19.

Berita Harian X