Rabu, 28 Oktober 2020 | 10:15pm
Duta Perancis di Malaysia, Frederic Laplanche. - Foto BERNAMA
Duta Perancis di Malaysia, Frederic Laplanche. - Foto BERNAMA

Macron sasar golongan radikal, bukan umat Islam - Kedutaan Perancis

KUALA LUMPUR: Kedutaan Perancis di Malaysia menjelaskan bahawa Presiden Perancis, Emmanuel Macron tidak menyasarkan masyarakat Islam di negara itu, sebaliknya menentang ideologi Islamisme radikal yang perlu diasing dan ditentang.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan Perancis tidak memihak atau memburukkan mana-mana agama.

Perancis juga, kata kedutaan, menjamin wujudnya kedamaian untuk semua penganut agama dalam kerangka undang-undang serta prinsip republik itu, ketika seruan umat Islam memboikot produk Perancis.

"Presiden jelas menyatakan beliau akan bertegas terhadap sebarang bentuk kesimpulan umum, membezakan majoriti besar penganut Islam Perancis dengan kumpulan pemisah minoriti yang menentang nilai Republik serta golongan yang membebankan kelompok majoriti," kata kenyataan itu.

Beberapa negara Islam meminta kempen memboikot produk Perancis berikutan ucapan Macron pada 2 Oktober lalu yang dianggap mengkritik Islam.

Kedutaan juga menyatakan terdapat beberapa personaliti cuba memulakan kempen anti-barangan Perancis di Malaysia.

"Kami gembira dengan jaminan yang diberikan oleh pihak berkuasa bahawa kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan tindakan sedemikian," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X