Rabu, 28 Oktober 2020 | 8:13pm

KP akui dirinya, petugas KKM berdepan tekanan

PUTRAJAYA: Penularan COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga turut memberi kesan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, seperti seluruh pasukannya yang berada di lapangan.

Dr Noor Hisham berkata, seperti pasukannya, beliau juga mengalami kelesuan mental dan fizikal berikutan tekanan tugas dalam mencari jalan membendung penularan COVID-19.

Katanya, kelesuan yang dialami oleh petugas di lapangan, turut dirasai kakitangan yang berada di kementerian.

"Memang (mengalami kelesuan). KP Kesihatan juga terkesan... Malam pun tidak boleh tidur kerana mencari jalan penyelesaian terhadap masalah.

"Kadang-kadang bangun jam 3 atau 4 pagi untuk fikirkan masalah," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata, apa yang sedang dilalui ketika ini adalah cabaran kepada semua barisan petugas hadapan.

Katanya, mereka perlu bijak mengatur penggiliran kerja dan memberi masa kepada semua petugas hadapan untuk berehat.

Dr Noor Hisham ditanya jika beliau menyedari mengenai senario ada doktor perubatan di Sabah yang terpaksa mengambil pil tidur kerana mengalami tekanan mental susulan bebanan kerja berlebihan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, ketika ini, sehingga semalam, seramai 1,045 kakitangan dimobilisasikan di Sabah dalam peperangan menentang penularan jangkitan iaitu 667 kakitangan sedia ada di Sabah dan 378 dari Semenanjung.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada 150 adalah kakitangan Kesihatan Awam dan 895 adalah kakitangan perubatan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sudah memberi kelulusan pelantikan sejumlah 1,223 calon baharu iaitu seramai 624 Jururawat Gred U29; 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29; 213 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29.

"Seramai 317 Jururawat Gred U29 ditempatkan di Sabah, manakala 18 lagi akan ditempatkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Sehingga petang tadi, seramai 165 Jururawat Terlatih, 18 Juruteknologi Makmal Perubatan dan 21 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sudah melaporkan diri dan ditempatkan ke fasiliti di Sabah.

"Baki seramai 152 akan lapor diri pada Jumaat. Lebih ramai akan melapor diri selepas keputusan ujian RT-PCR dan pemeriksaan kesihatan mereka selesai," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, sejak penularan pertama COVID-19 sehingga kini seramai 949 kakitangan kesihatan dijangkiti wabak berkenaan dengan kebanyakan mereka mendapat jangkitan dalam komuniti.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai perkembangan terbaru COVID-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai perkembangan terbaru COVID-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X