Jumaat, 23 Oktober 2020 | 1:10pm

Maritim Malaysia lantik 2 pegawai memerintah wanita

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekali lagi mencatat sejarah apabila melantik dua anggota wanita sebagai Pegawai Memerintah Kapal berpangkalan di sini.

Lantikan membabitkan Bekas Penolong Pengarah Kanan Seksyen Dasar Pengurusan Kompetensi di Cawangan Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi Bahagian Sumber Manusia, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya, Leftenan Komander Fadzliana Fadzil dan Leftenan Maritim Nurul Hanin Mohd Isa.

Fadzliana, 37, mengambil alih jawatan Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Tugau daripada Leftenan Komander Maritim Mohd Badri Barid Abdullah yang bertukar tugas sebagai Pegawai Memerintah KM Rawa.

Nurul Hanin, 39, yang juga bekas Penolong Pengarah Kanan Unit Penguatkuasaan dan Eksesais, Seksyen Operasi, Maritim Malaysia Pulau Pinang, akan mengemudi KM Nyalau selepas mengambil alih jawatan itu daripada Leftenan Komander Maritim Aida Arzahari.

Aida, 37, yang melakar sejarah menjadi wanita pertama negara dilantik ke jawatan itu pada 2018 akan bertukar tugas sebagai Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar Luar Negara, Cawangan Dasar Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim di Ibu Pejabat APMM.

Turut diadakan majlis serah terima tugas Pegawai Memerintah KM Rawa antara Mohd Badri Barid yang mengambil alih jawatan itu daripada Leftenan Komander Maritim Tuan Mazzukei Mohammad yang bertukar tugas sebagai Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar Pengurusan Kompetensi di Cawangan Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi Bahagian Sumber Manusia di Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Shahrizan (tengah) bersama tiga Pegawai Memerintah Kapal termasuk dua wanita baharu dilantik iaitu, Nurul Hanin (kiri), Mohd Badri Badri (dua kiri) dan Fadzliana (kanan) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Shahrizan (tengah) bersama tiga Pegawai Memerintah Kapal termasuk dua wanita baharu dilantik iaitu, Nurul Hanin (kiri), Mohd Badri Badri (dua kiri) dan Fadzliana (kanan) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Majlis serah terima tugas antara mereka disaksikan Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di sini, hari ini.

Fadzliana dalam ucapannya berkata, mereka berterima kasih kepada pengurusan tertinggi dan Pengarah Maritim Malaysia Perak yang memberi kepercayaan untuk mengetuai aset agensi itu.

Katanya, mereka akan menggalas tanggungjawab tugas penguatkuasaan dan mengutamakan sifar kemalangan di laut dengan baik.

Sementara itu, Shahrizan berkata, pelantikan itu bukti tiada diskriminasi tugas terhadap anggota wanita.

Katanya, beliau percaya dua anggotanya mampu menggalas tanggungjawab diberikan biarpun tugas itu mempunyai cabaran tersendiri.

"Perlantikan mereka menjadikan Maritim Malaysia Perak kini mempunyai dua pegawai memerintah wanita selepas Aida bertukar ke ibu pejabat.

"Jantina bukan penghalang untuk penjawatan di kapal dan sehingga kini Maritim Malaysia Perak mempunyai enam anggota wanita bertugas di tiga kapal yang diberikan sokongan tidak berbelah bahagi," katanya.

Shahrizan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah terima tugas Pegawai Memerintah Kapal di antara Aida (kiri) dan Nurul Hanin (kanan) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Shahrizan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah terima tugas Pegawai Memerintah Kapal di antara Aida (kiri) dan Nurul Hanin (kanan) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X