Isnin, 19 Oktober 2020 | 11:03pm
Tan Sri Musa Aman
Tan Sri Musa Aman

Musa Aman dakwa Shafie punca peningkatan COVID-19

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dalam surat terbukanya mendakwa Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai punca berlakunya lonjakan kes COVID-19 di seluruh negara terutamanya di Sabah.

Dalam surat berkenaan, Musa menyangkal dakwaan bahawa lonjakan kes COVID-19 disebabkan cubaannya merampas kuasa ketua menteri sehingga memaksa pilihan raya negeri (PRN) Sabah diadakan bulan lalu.

Musa menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah yang tidak berasas.

Dalam satu surat terbuka itu, beliau terpanggil untuk memberi respon mengenai punca sebenar peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini.

"Saya terpanggil menulis surat ini bagi menjelaskan punca sebenar peningkatan kes COVID-19 di Malaysia dan membuka mata rakyat terhadap pembohongan serta fitnah yang didalangi jentera propaganda WARISAN Plus.

"WARISAN Plus wajar mengakui punca sebenar peningkatan kes COVID-19 di Sabah dan seluruh negara dan bukannya menyalahkan saya serta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

 Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, - Foto BERNAMA
Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, - Foto BERNAMA

"Sekiranya WARISAN Plus memenangi PRN Sabah, saya tidak fikir mana-mana pemimpinnya akan menyentuh isu pandemik berkenaan.

"Tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka, hari ini kita dapat melihat pemimpin WARISAN Plus dan Pakatan Harapan (PH) sewenang-wenangnya menuding jari menyatakan cubaan saya menggulingkan Shafie Apdal yang membawa kepada PRN," katanya.

Musa juga menjelaskan dalam surat itu bahawa tindakan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mendesak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya mendorong pelaksanaan PRN Sabah.

"Shafie mendesak PRN Sabah diadakan kerana menyedari beliau hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Beliau sepatutnya bertindak sebagai seorang budiman namun memilih untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri Sabah supaya membubarkan DUN dan mengadakan PRN walaupun menyedari kesan melakukannya di pertengahan pandemik.

"Beliau boleh memilih untuk meletak jawatan secara bertanggungjawab atau membawa Sabah ke kancah PRN ketika pandemik COVID-19. Ternyata beliau membuat pilihan yang jelas salah dan mementingkan diri sendiri.

"Malah, Shafie yang menyebarkan video bahawa beliau sanggup mati daripada menyerahkan kembali kuasa kepada saya. Ironinya, beliau yang lebih awal merampas pentadbiran kerajaan daripada kami selepas Pilihan Raya Umum (PRU)-14," katanya.

Dalam pada itu, Musa menjelaskan pihaknya juga tidak pernah memohon untuk membubarkan DUN di samping tiada sebarang kuasa untuk membubarkannya.

"Saya ingin menegaskan, tiada mana-mana 32 bekas ADUN yang menyatakan sokongan terhadap saya untuk membentuk kerajaan negeri pada 29 Julai lepas mahupun saya sendiri pernah memohon DUN dibubarkan atau PRN diadakan di pertengahan pandemik.

"Lebih penting, tiada mana-mana antara 32 ADUN itu atau saya mempunyai kuasa untuk meminta DUN dibubarkan. PRN diadakan itu berpunca daripada nasihat yang salah untuk membubarkan DUN.

"Mengambil kira ancaman terhadap nyawa rakyat Sabah, kami mengarahkan peguam supaya memohon penangguhan PRN kerana adalah berbahaya untuk diadakan dalam suasana pandemik berleluasa," katanya.

Menyedari hal terbabit, Musa menjelaskan beliau menggunakan cara undang-undang bagi menangguhkan PRN Sabah.

"Peguam utama kami merayu dengan panjang lebar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi memohon agar membenarkan penangguhan kerana kami tidak mahu membahayakan nyawa rakyat.

"Bagaimanapun, peguam mewakili bekas ketua menteri (Mohd Shafie) dan kerajaan negeri Sabah keras menentang kami dan menyifatkannya sebagai hujah terdesak untuk menghalang pilihan raya. Saya menolak keras dakwaan bahawa ia adalah hujah terdesak.

"Dalam hal ini, Shafie mesti memberi penjelasan kepada rakyat Sabah mengapa peguamnya menolak permohonan penangguhan PRN ketika pandemik.

"Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan daripada pentadbiran negeri terdahulu mengapa DUN dibubarkan dan PRN diteruskan," katanya.

Musa berkata, peningkatan mendadak kes COVID amat jelas berpunca daripada pihak WARISAN Plus yang menyebabkan PRN diadakan dengan membubarkan DUN.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X