Ahad, 18 Oktober 2020 | 2:09pm
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz. - Foto ARKIB NSTP
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz. - Foto ARKIB NSTP

'Mana ada kita sokong Anwar' - Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nazri Aziz menepis dakwaan kononnya ramai Ahli Parlimen UMNO akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Padang Rengas yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, juga mendakwa usaha Presiden PKR untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mendapat restu UMNO, apatah lagi majoriti Ahli Parlimen parti itu.

"Mana ada kita sokong Anwar. 'No Anwar, No DAP'. Dia (Anwar) pun mana ada datang dengan kita minta sokongan dan kita tidak pernah menyokong pun, sebab dia bersama DAP," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sehubungan itu, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, berharap rakyat tidak perlu percaya dengan cubaan Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan kerana beliau yakin perkara itu tidak akan menjadi realiti.

Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menafikan mereka menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Sementara itu, Nazri ketika ditanya syarat baharu ditetapkan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata beliau bersetuju dengan keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO.

"Kita memang sokong syarat baharu itu. Biar MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO tentukan apa syarat-syaratnya dalam mesyuarat minggu depan," katanya.

Beliau mengakui memang wujud perasaan tidak puas hati dalam kerjasama politik dengan BERSATU, bukan sahaja membabitkan pengagihan jawatan Kabinet, tetapi juga pemilihan ketua kampung.

"Sebab itu kita (UMNO) nak letak syarat (baharu)," katanya yang yakin dua pemimpin tertinggi UMNO dan BERSATU mampu mencari kata sepakat untuk menyelesaikan isu yang timbul dengan segera.

Berita Harian X