Ahad, 18 Oktober 2020 | 12:37am
Norlin (kanan) ketika melawat tempat tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria
Norlin (kanan) ketika melawat tempat tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

JAS ambil sampel minyak 4 kapal berlabuh di Kuala Linggi

PORT DICKSON: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil 12 sampel minyak daripada empat kapal yang berlabuh di Kuala Linggi, untuk siasatan kes tumpahan minyak sehingga mencemarkan Pantai Cermin, Batu 10 dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, berkata pihaknya dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Laut mengambil sampel daripada kapal sedang berlabuh itu dan menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak 12 sampel minyak sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis dan mencari bukti berikutan insiden tumpahan minyak itu.

"Kami juga menggunakan data satelit untuk mengesan mana-mana kapal yang melalui laluan terbabit pada tarikh disyaki dalam usaha melengkapkan siasatan kami.

"Kami akan mencari bukti dan pelaku serta mereka yang terbabit. Kami sedang menunggu keputusan sampel dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian di Pantai Cermin, semalam.

Norlin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang melepaskan minyak ke laut dengan sengaja atau tidak sengaja.

Beliau berkata, tindakan terbabit adalah tidak bertanggungjawab kerana menjejaskan ekosistem hidupan laut secara keseluruhan.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 80 peratus kerja pembersihan pantai susulan insiden berkenaan sudah dilaksanakan, setakat semalam, membabitkan kira-kira 250 anggota agensi awam dan swasta dari Melaka serta Negeri Sembilan.

"Masih ada saki-baki minyak yang dilihat datang dari tengah laut dan terkini, kami menggunakan kaedah 'absorbent boom'.

"Di Tanjung Tuan pula, sebanyak 80 peratus tugasan sudah selesai membabitkan kawasan paya bakau.

"Pemantauan diteruskan bagi memastikan tiada lagi tumpahan minyak. Maritim Malaysia melakukan pemantauan di kawasan perairan berhampiran supaya tiada kapal mengambil kesempatan melepaskan minyak ke kawasan perairan di sini," katanya.

Berita Harian X