Ahad, 18 Oktober 2020 | 12:16am
(Gambar fail) Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi, Georgetown. - NSTP/DANIAL SAAD
(Gambar fail) Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi, Georgetown. - NSTP/DANIAL SAAD

COVID-19: Penjara Seberang Perai belum perlu dikenakan PKPD

GEORGETOWN: Penjara Seberang Perai, Jawi, di sini, tidak perlu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan COVID-19 di kompleks itu masih terkawal.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) bahawa keadaan semasa di penjara itu tidak memerlukan PKPD dilaksanakan, setakat ini.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang turut menjalankan pemantauan rapi.

"Malah, pihak berkaitan memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) ketat telah dipraktikkan oleh Jabatan Penjara Pulau Pinang untuk memastikan tidak berlakunya perebakan luar komuniti.

"Bagi kes baharu membabitkan daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, saringan lanjut giat dijalankan oleh JKNPP serta pihak berkaitan.

"Semua pihak, termasuk pada peringkat daerah, berada pada tahap siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan berasaskan penilaian risiko serta keperluan lanjut dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, JKNPP memaklumkan bahawa ujian saringan COVID-19 akan diteruskan terhadap banduan di Penjara Seberang Perai.

"Bagi Penjara Reman Pulau Pinang, saringan kedua sudah dijalankan terhadap mereka yang memperoleh keputusan negatif sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X