Ahad, 18 Oktober 2020 | 12:15am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

PDRM siasat kes video pertikai sistem pemerintahan beraja di Malaysia

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan berhubung kes penyebaran satu rakaman video berunsur hasutan yang mempertikaikan sistem pemerintahan beraja dan kedudukan Raja-raja di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata identiti individu disyaki menghasilkan rakaman video berdurasi satu minit 30 saat itu juga sudah dikenal pasti.

Beliau berkata, suspek adalah seorang lelaki berumur 38 tahun dengan alamat terakhir di Jalan Tan Sri Manickavasagam, Seremban, Negeri Sembilan.

"Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod dikehendaki membabitkan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya suspek kini berada di luar negara kerana semakan pergerakan keluar masuk Malaysia mendapati lelaki itu sudah keluar negara sejak November 2017.

"Tindakan tegas akan diambil kerana dengan niat dan sengaja menghasut.

"Kita menggesa orang awam untuk tidak membuat, mewujudkan atau meminta-minta dan memulakan apa-apa hantaran ke atas kenyataan yang tular itu," katanya.

Beliau berkata, tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan ke atas sesiapa yang ingkar.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Berita Harian X