Sabtu, 17 Oktober 2020 | 5:10pm
Khairy menafikan pernah menyatakan sokongannya kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Khairy menafikan pernah menyatakan sokongannya kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Khairy nafi beri sokongan kepada Anwar

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan pernah menyatakan sokongannya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, dakwaan kononnya beliau menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu, berdasarkan satu surat yang ditularkan di media sosial hari ini sebagai tidak mewakili dirinya.

"Jika surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa pendirian presiden parti tidak mewakili suara saya. Saya tidak menyatakan sokongan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Saya harap Ahli Parlimen UMNO lain akan menyatakan pendirian mereka dengan jelas. Mari kita lihat siapa yang ada angka," katanya dipetik menerusi laman Intagramnya hari ini.

Hantaran Khairy menerusi Instagram Stories miliknya.
Hantaran Khairy menerusi Instagram Stories miliknya.

Khairy antara pemimpin UMNO terawal yang menafikan dirinya pernah menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ketika pengesahan ketulenan sama ada surat itu benar atau tidak masih belum dijelaskan secara rasmi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hari ini, tular di media sosial sepucuk surat menggunakan kepala surat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) tersebar kononnya ditulis oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong.

Intipati surat bertarikh 11 Oktober itu menyatakan Ahli Dewan Rakyat UMNO memberi sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Berita Harian X