Sabtu, 17 Oktober 2020 | 2:33pm
Gambar fail, Sharifah Fariesha Syed Fathi (duduk kiri) dan Ayuni Shazwanie Shabri (belakang kiri) maut manakala dua beradik kembar Nor Adilah (duduk kanan) dan Nur Aqilah Mohd Safwan masing-masing berusia 21 tahun kritikal selepas keempat-empat mereka terhidu gas karbon monoksida ketika berehat di dalam kereta dinaiki mereka di stesen minyak Samagagah, Permatang Pauh, Bukit Mertajam. - Foto ihsan keluarga

Nor Aqilah sudah boleh terima hakikat kematian kembar, 2 rakan

BUKIT MERTAJAM: Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, mangsa tunggal yang terselamat dalam kejadian keracunan karbon monoksida di stesen minyak di Sama Gagah, dekat sini pada bulan lalu, sudah boleh menerima hakikat kematian kembar dan dua rakannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata perkembangan itu hasil temu bual polis dengan gadis berkenaan sebaik dia dibenarkan keluar dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kuala Lumpur, minggu lalu.

Dalam temu bual itu juga, katanya, Nor Aqilah memaklumkan apa yang diingatinya sebelum kejadian 16 September lalu itu adalah dia bersama tiga yang lain singgah di stesen minyak berkenaan untuk membeli makanan sebelum berehat dalam kenderaan kerana keletihan.

"Melalui apa yang diceritakan, ketika berhenti di stesen minyak itu, mereka dalam keadaan letih dan lapar lalu keluar membeli makanan sebelum semua tertidur dalam kenderaan yang enjinnya masih hidup dan cermin tingkap tertutup rapat.

"Nor Aqilah kemudian tidak tahu apa lagi yang berlaku dan apabila sedar seminggu kemudian, dia berada di hospital," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Nor Aqilah.

Kenderaan yang dinaiki empat remaja yang terhidu gas karbon monoksida ketika berehat di dalam kereta dinaiki mereka di stesen minyak Samagagah, Permatang Pauh, Bukit Mertajam pada 17 September lalu. - Foto ihsan Pembaca

Kejadian berkenaan menyebabkan Nor Aqilah kritikal, manakala kembarnya, Nor Adilah dan dua rakan mereka, Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, meninggal dunia.

Nor Aqilah dilaporkan sedar dari koma pada 24 September lalu selepas seminggu menjalani rawatan.

Media sebelum ini melaporkan dalam tragedi itu, Nor Aqilah bersama kembarnya serta dua rakan, berhenti rehat dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di stesen minyak terbabit ketika dalam perjalanan pulang ke Kedah.

Mereka ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan berkenaan akibat terhidu karbon monoksida dengan Sharifah Fariesha dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ayuni Shazwanie pula dilapor meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya, manakala Nor Adilah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Angkatan Tentera Lumut pada 17 September.

Laporan bedah siasat mendapati ketiga-tiga mangsa maut akibat pelbagai organ mereka gagal berfungsi kerana terhidu karbon monoksida.

Berita Harian X