Khamis, 15 Oktober 2020 | 5:45pm
Wan Ahmad Wan Omar.- Foto/NSTP
Wan Ahmad Wan Omar.- Foto/NSTP

PRU tidak sesuai dilaksanakan sekarang

KUALA LUMPUR: Langkah mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika negara berhadapan COVID-19 terutama bagi menyelesaikan kemelut politik adalah amat tidak sesuai.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata PRU adalah pilihan terakhir tambahan pula keadaan kewangan negara yang tidak mengizinkan dan rakyat tidak bersedia.

"Kesan menimpa rakyat akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu menjadi iktibar. Penularan virus akibat PRN ini amat membimbangkan. Penularan meningkat mendadak sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dikuatkuasakan semula di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bayangkan bahayanya jika PRU berlaku di seluruh negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Wan Ahmad yang juga Ketua Sektor Politik Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM) berkata, pertukaran kerajaan sama ada melalui kuasa rakyat dalam pilihan raya atau akibat hilang kepercayaan wakil rakyat kepada ketua kerajaan adalah perkara lumrah dalam sebuah negara demokrasi berparlimen.

Namun, katanya pemimpin yang dipilih wajar menghayati maksud dan matlamat demokrasi berperwakilan, menerima amanah dan membawa kebaikan kepada rakyat selaku pengundi.

"Justeru, walaupun undang-undang mengizinkan pertukaran kerajaan dan perebutan kuasa, pada masa sama dalam situasi tertentu, pemimpin yang dipilih untuk membawa kebaikan kepada rakyat perlu bertanggungjawab melakukan sesuatu langkah politik yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara.

"Rakyat muak dan sedang memerhati kerenah politik perebutan kuasa yang tidak berkesudahan sejak PRU-14. Jika ditanya apa yang rakyat mahu, Jawapannya rakyat mahukan keselamatan nyawa agar dapat diteruskan kehidupan tanpa diganggu dengan apa-apa tambahan masalah baharu," katanya.

Beliau menyarankan pemimpin mengetepikan politik buat seketika dan menyelesaikan politik perebutan kuasa di medan rundingan dan dalam situasi sekarang elakkan sama sekali penyelesaian melalui pertarungan di medan pilihan raya.

Katanya, politik perebutan kuasa sekarang, jika berterusan tanpa penyudah secara berhemah dan berjiwa besar maka pilihan terakhir yang tinggal dengan menyerahkan balik kuasa kepada rakyat.

"Mahu tidak mahu PRU-15 mengejut terpaksa diadakan. Bayangkan bencana yang bakal menimpa rakyat, masalah ekonomi yang bakal menimpa negara.

Apa akan jadi kepada kehidupan rakyat semasa dan selepas PRU.

"Hakikatnya, parti mana sekalipun yang menang, paling cepat tiga hingga empat bulan baharu kerajaan baharu dapat mengatur langkah dan strategi untuk mengurus dan mentadbirkan negara dan yang menjadi mangsa ialah rakyat," katanya.

Berita Harian X