Khamis, 15 Oktober 2020 | 5:32pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kemelut politik dan pilihan raya, akhirnya rakyat jadi mangsa

PERTUKARAN kerajaan - sama ada melalui kuasa rakyat dalam pilihan raya atau akibat hilang kepercayaan dalam kalangan wakil rakyat kepada ketua kerajaan - adalah perkara lumrah dalam sebuah negara demokrasi berparlimen. 

Tetapi, pemimpin yang dipilih wajar menghayati maksud dan matlamat demokrasi berperwakilan -- menerima amanah dan membawa kebaikan kepada rakyat selaku pengundi.

Justeru, walaupun undang-undang mengizinkan pertukaran kerajaan dan perebutan kuasa, pada waktu yang sama dalam situasi tertentu pemimpin yang dipilih untuk membawa kebaikan kepada rakyat perlu bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu langkah politik yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara.

Rakyat muak dan sedang memerhati kerenah politik perebutan kuasa yang tak berkesudahan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).  

  Jika ditanya apa yang rakyat mahu? Jawapannya - rakyat mahukan keselamatan nyawa agar dapat diteruskan kehidupan tanpa diganggu dengan apa-apa tambahan masalah baharu.

  Justeru, demi rakyat dan negara, ketepikan politik buat seketika. Selesaikan politik perebutan kuasa secara medan rundingan, dalam situasi sekarang elakkan sama sekali penyelesaian melalui  pertarungan di medan pilihan raya. 

 Dalam keadaan negara dilanda penularan pandemik COVID-19, mengadakan PRU untuk menyelesaikan kemelut politik adalah amat tidak sesuai dan merupakan pilihan yang terakhir. Tambahan pula, keadaan kewangan negara yang tidak mengizinkan dan rakyat tidak bersedia. 

  Kesan menimpa rakyat akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah (yang mengundi pada 26 September lalu), perlu menjadi iktibar.  

 Penularan virus akibat PRN berkenaan amat membimbangkan. Penularan meningkat mendadak sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dikuatkuasakan semula di Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

  Bayangkan bahayanya jika PRU berlaku di seluruh negara!

  Rakyat rata-ratanya muak dengan politik perebutan kuasa yang berlaku sejak Jun 2018. Semasa 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), perebutan dalaman berlaku antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  Kesudahannya, Dr Mahathir meletakkan jawatan dan PH hilang kuasa. Rakyat merasa lega seketika apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik dan kerajaan baharu dibentuk. Keselamatan nyawa dan kehidupan rakyat menjadi tumpuan utama.

 Sejak daripada hari pertama menerajui kerajaan, Muhyiddin selaku Perdana Menteri bertungkus-lumus melakukan pelbagai usaha dan tindakan melawan serangan COVID-19. Fokus utama diletakkan untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat - golongan marhain B40 yang amat terkesan akibat serangan COVID-19.

 Pada waktu yang sama usaha menyelamatkan ekonomi negara turut diberi tumpuan. Atas usaha gigih kerajaan dan semua pihak yang terbabit, Malaysia menjadi antara negara yang dianggap berjaya melawan wabak berkenaan. 

Sekarang apa sudah jadi? Akibat politik perebutan kuasa, bermula dengan PRN Sabah yang terpaksa diadakan, pelbagai parti politik turun ke Negeri di Bawah Bayu, masing-masing mendekati rakyat berkempen untuk menang pilihan raya.

 Akibatnya, penularan COVID-19 mendadak merebak ke seluruh negara.

  Politik perebutan kuasa sekarang, jika berterusan tanpa penyudahnya secara berhemah dan berjiwa besar, maka opsyen terakhir yang tinggal ialah menyerahkan balik kuasa kepada rakyat.

Mahu tidak mahu PRU-15 mengejut terpaksa diadakan.

 Bayangkan bencana yang bakal menimpa rakyat, masalah ekonomi yang bakal menimpa negara. Apa akan jadi kepada kehidupan rakyat semasa dan selepas PRU.   

 Hakikatnya, parti mana sekalipun yang menang, paling cepat tiga atau empat bulan kerajaan baharu dapat mengatur langkah dan strategi untuk mengurus dan mentadbirkan negara.

 Jadi, yang menjadi mangsa ialah rakyat jelata.

Penulis adalah Ketua Sektor Politik Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM)

Berita Harian X