Ahad, 11 Oktober 2020 | 6:51pm
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy. - Foto arkib NSTP
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy. - Foto arkib NSTP

Khidmat klinik, hospital swasta atasi kekurangan petugas di Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta (GP) dan kakitangan hospital universiti di Sabah untuk mengatasi isu kekurangan petugas susulan lonjakan kes COVID-19 di negeri itu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata kerjasama awam dan swasta perlu diwujudkan supaya GP dan hospital swasta boleh mengurangkan beban hospital serta klinik kerajaan dengan merawat pesakit selain COVID-19 pada kadar yang dipersetujui.

"Klinik kesihatan komuniti boleh merujuk kes penyakit tidak berjangkit (NCD) ke klinik swasta berdekatan untuk konsultasi dan rawatan susulan pada kadar minima, namun pesakit dibenarkan untuk mendapatkan ubat di farmasi kerajaan.

"Menerusi pendekatan ini, petugas yang diperlukan untuk perkhidmatan selain COVID-19 akan berkurangan, dan lebihan tenaga kerja itu boleh digunakan untuk penjagaan pesakit COVID-19 di beberapa kawasan di Sabah," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, seramai 198 petugas kesihatan yang berkhidmat di Sabah dijangkiti COVID-19 sejak awal penularan pandemik itu, dengan 85 kes dikesan pada bulan ini dan 68 kes pada bulan lalu.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) menambah jumlah hospital daerah yang dijadikan pusat rawatan pesakit COVID-19, seperti dilaksanakan di Hospital Kota Marudu dan beberapa hospital lain di Sabah.

Selain itu, KKM boleh bekerjasama dengan doktor dan pakar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan universiti awam dan swasta lain untuk menawarkan perkhidmatan di hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19.

"KKM juga perlu memberi peluang kepada individu yang memiliki Perakuan Amalan Tahunan (APC) namun tidak mempraktikannya, seperti pesara petugas perubatan dan doktor yang berkemampuan secara fizikal, untuk merawat pesakit selain COVID-19," katanya.

Beliau turut menegaskan, petugas perubatan di Sabah kini terpaksa bertugas tanpa henti dan berpotensi mengalami keletihan mental, fizikal dan emosi atau 'burnout' jika keadaan itu berterusan untuk jangka panjang.

"Kita tahu nisbah doktor kepada pesakit di Sabah lebih kecil berbanding di Semenanjung dan jumlah sedia ada tidak mampu untuk menguruskan pandemik ini.

"Kerajaan perlu meneliti dengan serius keperluan menawarkan jawatan tetap dengan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada doktor baharu dan memobilisasikan mereka.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bahagian Sumber Manusia (BSM) dan Kementerian Kewangan (MOF) perlu meneliti perkara ini dan membuat keputusan segera sebelum keadaan bertambah buruk," katanya.

Berita Harian X