Ahad, 11 Oktober 2020 | 1:09pm
Ahmad Saidi (empat dari kanan) menyerahkan set PPE yang disiapkan Penjara Marang kepada Setiausaha Kerja Malaysian Relief Agency (MRA) Terengganu Siti Maisarah Mohd Zukri pada majlis penyerahan PPE kepada MRA Terengganu di Penjara Marang. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Saidi (empat dari kanan) menyerahkan set PPE yang disiapkan Penjara Marang kepada Setiausaha Kerja Malaysian Relief Agency (MRA) Terengganu Siti Maisarah Mohd Zukri pada majlis penyerahan PPE kepada MRA Terengganu di Penjara Marang. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Penjara Marang tawar jahit peralatan PPE

MARANG: Penjara Marang sedia membantu menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) yang diperlukan susulan peningkatan kes COVID-19 19 di negara ini.

Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah, berkata seramai 40 penghuni di bahagian jahitan di Penjara Marang sentiasa bersedia membantu menyiapkan PPE.

"Sebelum ini, 6,000 set PPE lengkap sudah disiapkan dan diserahkan kepada pelbagai pihak memerlukan.

"Biasanya kami buat bersama badan bukan kerajaan (NGO). Mereka akan menyediakan segala kelengkapan itu termasuk fabrik bersesuaian.

"Kami akan membantu menjahit PPE mengikut piawai ditetapkan untuk kegunaan petugas di kesihatan," katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan PPE kepada Malaysian Relief Agency (MRA) Terengganu di Penjara Marang, hari ini.

Turut hadir Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman; Pengarah Pusat Koreksional Dungun, Penolong Komisioner Penjara Hamid Taha dan Setiausaha Kerja MRA Terengganu Siti Maisarah Mohd Zukri.

Ahmad Saidi berkata, Penjara Marang akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerja menyiapkan PPE itu.

"Tukang jahit daripada penghuni itu akan menghentikan dahulu kerja menyiapkan tempahan lain untuk menyiapkan PPE.

"Sekurang-kurangnya mereka juga mempunyai sumbangan terhadap usaha menangani penularan pandemik COVID-19," katanya.

Sebelum ini, pihaknya sudah menghentikan kerja menjahit PPE, tetapi sekarang perlu aktifkan semula berikutan ada permintaan.

"Sekarang sudah ada permintaan baru dan Penjara Marang sedang menyiapkannya secara berperingkat.

"Set lengkap PPE termasuk baju, seluar, kasut dan topi sudah disiapkan akan terus diserahkan kepada NGO sebelum diagihkan kepada petugas kesihatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X