Khamis, 8 Oktober 2020 | 1:16pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Pelantikan ADUN PAS di Sabah perkukuh hubungan masyarakat pelbagai kaum'

KOTA KINABALU: Pelantikan Dr Aliakbar Gulasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Sabah, disifatkan PAS bakal membawa perubahan baharu dalam usaha mengeratkan perpaduan antara parti itu dan rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pelantikan itu bakal membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah dalam menjalin hubungan lebih erat dengan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.

"Keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan PAS dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.

"Kepada Dr Aliakbar Gulasan dan PAS Sabah, semoga diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menzahirkan penghargaan pihaknya kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan untuk melantik pemimpin PAS Sabah sebagai ADUN dilantik.

Aliakbar yang juga Setiausaha PAS Sabah antara ahli politik yang mengangkat sumpah sebagai ADUN dilantik hari ini dan menjadikan beliau sebagai pemimpin pertama PAS Sabah menjadi ADUN di negeri ini.

Berita Harian X