Isnin, 5 Oktober 2020 | 1:02pm

Rumah penduduk lokasi transit barang seludup

PADANG BESAR: Beberapa penempatan di sini dikesan menjadi lokasi transit dan laluan penyeludupan pelbagai barangan, termasuk dadah dan ketum antara sempadan negara dan Thailand.

Difahamkan, ada antara rumah di kawasan berkenaan dijadikan lokasi transit menyimpan daun ketum serta barang keperluan seperti bawang, minyak masak, tepung, pakaian dan pelbagai lagi sebelum diseludup melalui lorong tikus ke Thailand.

Selain itu, sindiket dikatakan menggunakan lorong tikus di kawasan berkenaan untuk menyeludup dadah, mercun dan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia.

Malah, satu daripada penempatan berkenaan, iaitu Kampung Kolam sangat popular dalam kalangan penduduk sebagai tumpuan penyeludup sehingga sehingga diberi jolokon 'Kampung Colombia'.

PAGAR keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar menjadi
PAGAR keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar menjadi

Selain Kampung Kolam, beberapa kawasan panas lain berhampiran sempadan yang dipercayai turut menjadi lokasi transit dan laluan penyeludup adalah Kampung Melayu serta FELDA Rimba Emas.

Tinjauan BH di Kampung Kolam yang terletak tidak sampai 200 meter dari tembok sempadan Malaysia-Thailand, mendapati ada beberapa lelaki dipercayai 'tonto' diupah sindiket mengawasi laluan masuk ke penempatan berkenaan.

Berdasarkan maklumat penduduk berhampiran, pelbagai kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rentas sempadan yang menggunakan kampung berkenaan sebagai laluan menjadikan penempatan itu diberi jolokon 'Kampung Colombia'.

Menurut mereka, penempatan itu pada asalnya didiami penduduk tempatan, namun diceroboh pendatang asing yang kemudian membina rumah dan mengusahakan tanah secara haram.

Mengikut maklumat pada papan tanda berhampiran, kawasan berdekatan Stesen Keretapi Padang Besar itu adalah milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Perlis, namun dipercayai didiami secara haram sejak lebih 10 tahun lalu.

Akibat pencerobohan itu, kegiatan penyeludupan rentas sempadan dikatakan semakin kerap dengan sindiket turut menyeludup barang terlarang seperti dadah dan ketum menggunakan sekurang-kurangnya 20 laluan tikus.

Ketika tinjauan, beberapa individu dilihat bergegas menunggang motosikal meninggalkan kawasan hutan berbukit berdekatan sempadan sebaik menyedari kehadiran wartawan dan jurugambar BH, seperti sudah tahu identiti siapa yang mendekati kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Anuar, 41, berkata kumpulan sindiket disyaki bersubahat dengan warga tempatan untuk membina rumah di tanah milik kerajaan berhampiran sempadan.

"Kalau orang tempatan, saya rasa mereka tidak akan bina rumah berdekatan sempadan kerana tahu tanah di situ milik kerajaan dan terlalu dekat dengan zon penampan," katanya ketika ditemui.

Beliau percaya sindiket menggunakan nama penduduk tempatan untuk membina rumah di tanah kerajaan, tetapi kediaman itu kemudian dihuni warga asing bagi memudahkan kegiatan penyeludupan.

OPERASI tebang pokok ketum dilaksanakan dengan kerjasama PDRM, FELDA dan Pejabat Tanah Galian (PTG) Perlis di FELDA Mata Ayer, Padang Besar. NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
OPERASI tebang pokok ketum dilaksanakan dengan kerjasama PDRM, FELDA dan Pejabat Tanah Galian (PTG) Perlis di FELDA Mata Ayer, Padang Besar. NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEGAWAI Pemerintah Pasukan Gerakan Am Batalion 18 Wilayah Utara, Superintendan Abdul Razak Md Din
PEGAWAI Pemerintah Pasukan Gerakan Am Batalion 18 Wilayah Utara, Superintendan Abdul Razak Md Din

"Ada antara rumah di situ dijadikan lokasi transit daun ketum, bawang, minyak masak, tepung, pakaian dan apa sahaja barangan sebelum dibawa penyeludup melalui lorong tikus ke Thailand. Sindiket juga guna lorong tikus untuk seludup dadah, mercun dan bawa masuk PATI ke Malaysia," katanya.

Anuar memaklumkan, kegiatan penyeludupan melalui lorong tikus di Kampung Kolam sudah lama berlaku, tetapi kemuncaknya adalah dalam tempoh antara 2015 hingga 2018.

"Pihak berkuasa memang melakukan rondaan dan menutup lorong tikus, namun tidak lama kemudian lorong tikus baharu dibuka. Dulu lebih teruk apabila ada penyeludup memotong pagar sempadan, tetapi ia sudah dibaiki dan ditutup.

"Bagaimanapun, apabila satu lorong tikus ditutup, 10 lagi akan dibuka.

Disebabkan itu, kami penduduk asal berharap pihak berkuasa segera bertindak menghalang pembinaan lebih banyak rumah haram berhampiran sempadan bagi mengelak masalah lebih besar," katanya.

Beliau berkata, kegiatan penyeludupan melalui Kampung Kolam kelihatan agak terkawal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup sepenuhnya.

"Kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) secara kerap melakukan rondaan dan pemantauan turut menyebabkan penyeludup tidak berani melakukan kegiatan mereka secara terbuka ketika ini," katanya.

Berita Harian X