Ahad, 4 Oktober 2020 | 9:48pm
Gambar fail Bung Moktar dan Mohamad pada hari penamaan calon PRK Parlimen KIMANIS, Januari lalu. Foto NSTP
Gambar fail Bung Moktar dan Mohamad pada hari penamaan calon PRK Parlimen KIMANIS, Januari lalu. Foto NSTP

Bung Moktar, Mohamad nafi sokong Anwar

KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menafikan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Mohamad membuat penafian itu berikutan nama mereka antara Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan tersenarai menyokong Presiden PKR seperti tersebar di media sosial.

Sambil menegaskan beliau tidak tahu mengenai senarai berkenaan, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyatakan dakwaan mengaitkan beliau dengan gerakan menukar kerajaan diketuai Anwar adalah palsu.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini. Saya hanya dimaklumkan kononnya nama saya ada dalam senarai yang disebarkan sebuah portal dan tular di media sosial.

"Berikutan itu saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan saya pernah atau terbabit menyokong gerakan menubuhkan kerajaan baharu diketuai Ahli Parlimen Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar sebelum ini mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkannya membentuk kerajaan baharu dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Semalam, satu senarai nama Ahli Parlimen dikatakan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri Kesembilan tersebar di media sosial.

Ia adalah senarai kedua selepas senarai awal sejurus Anwar membuat pengumuman berhubung dakwaan perubahan kerajaan pada akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini menyatakan senarai yang tular itu adalah tidak benar selain menafikan ia dikeluarkan parti berkenaan.

Sementara itu, Mohamad yang namanya turut didakwa menyokong Anwar, menyangkal dakwaan berkenaan selain menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kimanis itu menegaskan beliau kekal bersama UMNO dan menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kalau benar Anwar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu, beliau sepatutnya membuktikan perkara itu di Dewan Rakyat, bukan di hotel atau sidang media," katanya.

Berita Harian X